HIBURAN

Pemain dram Meditasi meninggal dunia ketika buat persembahan di Rock Festival Teruntum

KUALA LUMPUR – Dunia muzik tanah air dikejutkan dengan pemergian pemain dram kumpulan rock Meditasi, Raja Azreen yang meninggal dunia selepas rebah ketika sedang membuat persembahan di Rock Festival Teruntum di Kuantan, Pahang, malam tadi.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh beberapa rakan artis dan penggiat seni di media sosial, termasuk vokalis kumpulan Masa Legacy, Zack.

Menurut Zack, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menjayakan persembahan bersama kumpulan Meditasi di festival berkenaan.

“Assalamualaikum, mendapat perkhabaran duka bahawa pemain dram kumpulan Meditasi, Abang Azreen Meditasi, telah kembali ke rahmatullah malam tadi sewaktu membuat persembahan di Rock Festival Teruntum.

“Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan salam takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam perkongsian susulan, Zack memaklumkan beliau difahamkan Allahyarham berhasrat untuk memainkan dram bagi lagu pertama daripada album Meditasi dan hasrat itu berjaya ditunaikan sebelum kejadian yang meragut nyawanya.

Sementara itu, vokalis Meditasi, Burn memaklumkan jenazah Allahyarham dijangka tiba di Surau Bangi Perdana, Bangi, pagi ini bagi urusan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Kumpulan Meditasi yang berasal dari Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang mencipta nama dalam arena muzik rock tempatan sekitar era 1990-an menerusi beberapa lagu popular seperti Bidadari, Hukuman Pada Pesona dan Biar Pedih Kasih Memanjang.

Pemergian Raja Azreen disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik tanah air, khususnya dalam kalangan peminat muzik rock tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button