BERITA SEMASA

34 Ahli Parlimen sokong RCI siasat dakwaan ‘mafia korporat’ SPRM

KUALA LUMPUR – Seramai 34 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekas Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, termasuk kontroversi pemilikan saham beliau.

Dalam sidang media hari ini, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Muhammad Faisal Abdul Aziz yang mewakili Sekretariat RCI Now berkata, sokongan itu diperoleh selepas sekretariat mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen sepanjang tiga hari lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lapan Ahli Parlimen mewakili PKR, tujuh DAP, dua AMANAH dan seorang UMNO.

Katanya, sekretariat yang dianggotai 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu masih belum sempat menghubungi kesemua 222 Ahli Parlimen berikutan kekangan masa dan sumber manusia.

“Sekretariat akan memberi tempoh 14 hari bermula hari ini hingga 30 Julai kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan maklum balas selepas memorandum dihantar melalui e-mel.

“Sekretariat RCI Now merancang mengumumkan senarai penuh Ahli Parlimen yang menyokong cadangan ini berdasarkan pendirian mereka pada 3 Ogos,” katanya memetik laporan BH Online.

Daripada AMANAH, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menyatakan sokongan.

Bagi DAP pula, Ahli Parlimen yang menyokong ialah Syahredzan Johan (Bangi), Howard Lee (Ipoh Timor), Young Syefura Othman (Bentong), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Vivian Wong (Sandakan), Teresa Kok (Seputeh) dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka).

Lapan Ahli Parlimen PKR yang menandatangani dokumen sokongan ialah Wong Chen (Subang), Prabakaran Parameswaran (Batu), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput), Rodziah Ismail (Ampang) dan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Daripada UMNO, hanya Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu dipilih, Mohd Kurniawan Naim Mokhtar menandatangani memorandum berkenaan.

Turut menyatakan sokongan ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Ahli Parlimen Tuaran daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Dr Wilfred Madius Tangau.

Daripada PAS pula, Ahli Parlimen yang menyokong ialah Mohd Hasnizan Harun (Hulu Selangor), Dr Halimah Ali (Kapar), Mohd Misbahul Munir (Parit Buntar), Wan Razali Wan Nor (Kuantan), Datuk Awang Hashim (Pendang), Afnan Hamimi Taib Azamudden (Alor Setar), Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok), Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (Pokok Sena) dan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh).

Turut menandatangani memorandum itu ialah Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal (Machang).

Mengulas lanjut, Sekretariat RCI Now menggesa semua Ahli Parlimen tanpa mengira blok politik menyokong penubuhan RCI kerana sokongan dwipartisan penting bagi membuktikan komitmen mempertahankan integriti institusi negara serta memastikan tiada individu atau institusi kebal daripada undang-undang.

Menurut sekretariat itu, penubuhan RCI bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan bagi memastikan semua dakwaan disiasat secara bebas, telus dan menyeluruh selain memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Kegagalan kerajaan mendedahkan dapatan jawatankuasa khas yang menyiasat isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki hanya mengukuhkan persepsi bahawa wujud usaha menyembunyikan perkara yang berkepentingan awam,” kata Faisal.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif BERSIH, Asraf Sharafi berkata, pihaknya menyasarkan sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen terhadap cadangan penubuhan RCI sebagai petunjuk bahawa isu itu mendapat perhatian meluas.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Putrajaya terbuka untuk menubuhkan RCI atau mekanisme lain yang bersesuaian sekiranya didapati perlu demi kepentingan awam.

Seorang lagi wakil sekretariat, Wong Kueng Hui berkata, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya secara terbuka menolak cadangan berkenaan.

“Beliau menyatakan kami pernah mengkritiknya sebelum ini, justeru beliau tidak cenderung menyokong penubuhan RCI berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Asraf berkata, beberapa Ahli Parlimen yang ditemui masih memerlukan masa untuk mempertimbangkan pendirian masing-masing serta pendirian parti berhubung cadangan itu.

Katanya, sudah dua minggu berlalu sejak sekretariat menyerahkan memorandum berkenaan kepada Parlimen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button