Buenos Aires berpesta, Argentina mara ke final Piala Dunia 2026
BUENOS AIRES – Laungan sorakan dan kibaran bendera memenuhi jalan raya sekitar Buenos Aires apabila puluhan ribu penyokong Argentina turun meraikan kejayaan skuad La Albiceleste mara ke final Piala Dunia FIFA 2026.
Sambutan besar-besaran itu tertumpu di sekitar Monumen Obelisk, lokasi ikonik yang sering menjadi pusat perhimpunan penyokong bagi meraikan kejayaan sukan negara berkenaan.
Kemeriahan tercetus sejurus Argentina bangkit menewaskan England 2-1 dalam aksi separuh akhir, sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final kejohanan berprestij dunia itu.
Suasana sekitar ibu negara Argentina yang sebelum itu sunyi ketika perlawanan berlangsung berubah menjadi lautan manusia apabila penyokong memenuhi jalan raya dengan semangat meraikan kemenangan.
Penyokong dilihat mengibarkan bendera Argentina, menyanyikan lagu sokongan serta membunyikan hon kenderaan sebagai tanda kegembiraan selepas pasukan kesayangan mereka melangkah ke perlawanan terakhir.
Kejayaan itu menyaksikan Argentina selaku juara bertahan terus menghidupkan impian untuk memburu kejuaraan dunia buat kali keempat dalam sejarah.
Argentina kini dijadualkan berdepan Sepanyol pada aksi final yang akan berlangsung awal pagi Isnin waktu Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








