BERITA SEMASA

Maritim Malaysia perkasa kemahiran menembak anggota, tingkat kesiapsiagaan operasi

KAJANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasinya menerusi penganjuran Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil (UKMSK) 2026 yang berlangsung di Lapang Sasar Penjara Malaysia, di sini.

Program selama dua hari bermula 14 hingga 15 Julai itu menghimpunkan pegawai, anggota dan warga kerja Maritim Malaysia Negeri Selangor, selain disertai wakil daripada beberapa agensi keselamatan serta penguatkuasaan.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Negeri Selangor, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Selangor, Jabatan Laut Wilayah Tengah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia.

maritim
Aksi kakitangan Maritim Malaysia dan peserta terlibat menembak di lapang sasar.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penganjuran UKMSK bukan sekadar menguji kecekapan mengendalikan senjata api, malah menjadi platform membentuk anggota yang lebih berdisiplin, berkeyakinan dan profesional dalam melaksanakan tugas.

“Kecekapan mengendalikan senjata api bukan sahaja mencerminkan kompetensi individu, malah menjadi elemen penting bagi memastikan setiap operasi dilaksanakan secara selamat, berkesan dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang ujian itu, peserta dinilai berdasarkan ketepatan tembakan, kemahiran pengendalian senjata api, disiplin, kawalan emosi serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan setiap anggota bersedia menghadapi situasi sebenar di lapangan.

Program itu turut dihadiri barisan ketua jabatan daripada pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Komander Kawalan Pintu Masuk AKPS Pelabuhan Klang, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Tengah, Pengarah MKN Negeri Selangor, Ketua Maktab Penjara Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta wakil Pengarah Penjara Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Menurut Abdul Muhaimin, penyertaan pelbagai agensi dalam program berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan memperkasakan kompetensi anggota keselamatan negara.

Katanya, penganjuran UKMSK 2026 membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkasa modal insan serta memperkukuh budaya kecemerlangan bagi menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button