Tarikan di rumah kunci elak suami asyik keluar malam – Ustaz Azhar Idrus
KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berpandangan bahawa suasana dan tarikan di rumah memainkan peranan penting dalam mengurangkan kecenderungan sesetengah suami menghabiskan masa di luar rumah pada waktu malam.
Menurut beliau, persoalan mengapa ada suami gemar keluar berkaraoke atau melepak bersama rakan-rakan selepas berkahwin tidak semestinya perlu dijawab dengan menasihati golongan suami semata-mata, sebaliknya isteri juga boleh memainkan peranan dalam mewujudkan suasana rumah tangga yang lebih harmoni.
Beliau berkata, pada malam pertama perkahwinan, hampir tiada suami yang sanggup meninggalkan isterinya semata-mata untuk keluar bersama rakan-rakan.
“Siapa malam pengantin pergi main futsal? Ada tak malam pengantin pergi tahan bubu? Ada ke malam pengantin masuk hutan cari madu lebah? Sudah tentu tidak.
“Sebab ada isteri menunggu di rumah. Jadi, orang perempuan, buatlah setiap malam ketika suami ada di rumah seperti malam pengantin,” katanya dalam satu ceramah yang tular di media sosial.
Menurut UAI, apabila usia pasangan semakin meningkat, pendekatan yang digunakan juga perlu berubah agar hubungan suami isteri terus mesra dan tidak hambar.
Beliau secara berseloroh berkata, ada isteri yang hanya mengenakan pakaian biasa di rumah, sedangkan ketika keluar menghadiri majlis tampil berhias dan kemas.
“Kalau hendak suami balik awal, penampilan di rumah pun kena berubah. Jangan sampai di rumah hanya pakai baju kelawar, kemudian tidak menjaga penampilan,” katanya.
Selain penampilan, beliau turut menasihatkan isteri supaya mengelakkan amalan membebel sebaik sahaja suami pulang dari tempat kerja kerana keadaan itu boleh menyebabkan suami berasa kurang selesa untuk berada di rumah.
Beliau juga menyarankan agar isteri mempelbagaikan hidangan harian bagi mengelakkan suasana rumah tangga menjadi hambar.
Menurutnya, pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga juga perlu bijak mencari pendekatan baharu untuk mengekalkan keintiman dan kemesraan dalam perhubungan.
Tegas beliau, jika sesebuah rumah mempunyai banyak tarikan dalam erti kata yang baik, suami pasti lebih suka menghabiskan masa di rumah daripada keluar bersama rakan-rakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








