FELDA umum pelantikan Ahmad Badri sebagai pengerusi baharu
KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai pengerusi baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang tamat tempoh perkhidmatan selama tiga tahun, 30 Jun lalu.
FELDA dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepimpinan, integriti serta pengalaman luas Ahmad Badri dalam menerajui organisasi strategik.
Kepimpinan beliau dijangka memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan dan meneruskan agenda transformasi Felda selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan serta inklusif.
FELDA berkata, Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan strategik sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia dari 2018 hingga 2020.
“Beliau sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pernah menganggotai lembaga beberapa institusi utama negara termasuk Bank Negara Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Ketika ini, beliau merupakan Pengerusi RHB Bank Berhad dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, selain menganggotai Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dari segi akademik, Ahmad Badri memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Hull, United Kingdom serta ijazah sarjana muda dalam pengurusan hartanah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
FELDA berkata, pihaknya yakin di bawah kepimpinan Ahmad Badri, organisasi itu akan terus memperkukuh agenda transformasi Kumpulan Felda, meningkatkan kelestarian ekonomi serta mencipta nilai lebih besar kepada lebih tiga juta peneroka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







