BERITA SEMASA

Anak TPM dinobat Wanita Ikon Negeri Selangor 2026/2027

SHAH ALAM – Anak Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Nurulhidayah Ahmad Zahid dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon Negeri Selangor 2026/2027 pada Majlis Hi-Tea Pengumuman dan Apresiasi Wanita Ikon Selangor yang berlangsung di LADO By The Lake, di sini semalam.

Turut menerima pengiktirafan utama ialah Dr Reynu Rajan yang membawa pulang Anugerah Wanita Ikon WAJA Negeri Selangor 2026/2027, manakala Anugerah Wanita Ikon Muda Negeri Selangor 2026/2027 disandang Nur Hazreen Mohd Ramzi.

Majlis anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) Selangor itu disempurnakan oleh Datin Seri Masdiana Mohamad menerusi gimik perasmian yang turut menandakan pelantikan barisan Wanita Ikon Selangor sebagai duta inspirasi dan kepimpinan wanita negeri.

wanita
Barisan penerima anugerah Wanita Ikon Selangor 2026/2027.

Tahun ini menyaksikan format pemilihan yang lebih eksklusif dan kompetitif apabila seramai 19 calon akhir daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, keusahawanan, pembangunan komuniti dan kepimpinan melalui proses saringan sebelum dipilih ke peringkat akhir.

Sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan peserta, KWIM Selangor terlebih dahulu memperkenalkan Anugerah Bintang Selangor yang menghimpunkan lima tokoh wanita terbaik mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Penerimanya ialah Dr Nurhidayah Roslan (Bintang Inovasi), Datin Seri Nurulhidayah (Bintang Pembangunan Bakat), Nadira Mohd Yusoff (Bintang Impak Sosial), Zuria Abdullah (Bintang Perdagangan Global) dan Norfazlina Mohd Faozi (Bintang Pembangunan Jenama).

Bagi kategori Anugerah Bintang Harapan, tiga penerima ialah Umirah Mohd Taib (Bintang Harapan Pemerkasaan Keluarga), Tengku Norhanim Tengku Othman (Bintang Harapan Penjenamaan Global) dan Nur Hazreen Mohd Ramzi (Bintang Harapan Pembangunan Industri).

Kesemua penerima kemudian mara ke pentas penilaian akhir menerusi sesi temu bual secara langsung di hadapan panel juri yang menilai aspek kepimpinan, pemikiran strategik, komunikasi, visi, impak kepada masyarakat serta potensi sebagai ikon wanita negeri.

wanita
Mereka yang dipilih bukan sekadar penerima anugerah, malah bakal menjadi wajah dan suara wanita Selangor.

Panel penilai terdiri daripada Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed; Ketua Unit Pemasaran dan Pembangunan Usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Noorhazreen Ab Ghani serta personaliti televisyen, Hazel Desmond.

Pengerusi KWIM Selangor, Norzawani Mohamed Zakaria berkata, format baharu itu bukan sekadar memilih pemenang, malah membina platform pembangunan kepimpinan wanita yang lebih berprestij, telus dan berimpak.

“Kami mahu Wanita Ikon Selangor dikenali sebagai satu pengiktirafan yang benar-benar berprestij.

“Justeru, proses pemilihan bukan hanya berdasarkan pencapaian, tetapi turut menilai keupayaan calon menyampaikan idea, mempamerkan kepimpinan serta membuktikan impak sebenar kepada masyarakat.

“Mereka yang dipilih bukan sekadar penerima anugerah, malah bakal menjadi wajah dan suara wanita Selangor,” katanya.

Beliau berkata, semua penerima anugerah akan mengikuti siri pembangunan kepimpinan dan persediaan khas sebagai persiapan menghadapi Anugerah Wanita Ikon Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung pada penghujung September ini bagi mewakili Selangor di peringkat nasional.

Dalam majlis sama, KWIM Selangor turut merakamkan penghargaan kepada LADO By The Lake selaku penaja utama serta beberapa penaja bersama atas sokongan dalam menjayakan penganjuran majlis berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button