JENAYAH & MAHKAMAH

Gara-gara video tular “hidu kasut”, pelajar lelaki akhirnya ditahan polis

SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki sebuah universiti awam kini berada dalam tahanan selepas disyaki melakukan gangguan dan mengekori seorang pelajar wanita di institusi pengajian sama sejak bulan April lepas.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu turut dikaitkan dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial Threads, memaparkan perbuatannya mencuri kasut dari sebuah unit pangsapuri sebelum bertindak menghidunya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, suspek berjaya ditahan di kawasan Seksyen 7 setelah mangsa membuat laporan polis pada pukul 3.55 kelmarin.

Beliau berkata, mangsa berusia 22 tahun mendakwa diganggu dan sering diekori lelaki sama seperti yang dipaparkan dalam rakaman CCTV yang tular itu.

“Pelajar berkenaan melaporkan dia diganggu sejak dari April lalu sehingga kini ketika berada di kampus serta di kawasan rumah tempat dia tinggal.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 8.30 malam, polis berjaya menangkap suspek di sekitar kawasan Seksyen 7, Shah Alam.

“Semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah serta ujian saringan awal air kencing juga negatif sebarang penggunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengendap secara berulang kali, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Sabryna Taha di talian 014-5130450.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button