Bikin gambar lucah guna AI untuk dijual, remaja ditahan reman
KULAI – Kebolehan seorang pelajar menggunakan perisian suntingan gambar membawa padah apabila menyalahgunakan kemahirannya untuk menghasilkan gambar lucah menggunakan wajah individu lain untuk dijual secara dalam talian.
Remaja berusia 16 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, pada pukul 5 petang kelmarin.
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk M. Kumar berkata, polis berjaya membongkar kegiatan remaja berkenaan selepas menerima laporan daripada seorang remaja berusia 18 tahun yang mendapati wajahnya digunakan pada gambar yang tular di media sosial.
“Pengadu telah membuat laporan polis Khamis lalu setelah mendapati gambar lucah yang telah disunting menggunakan gambar mukanya telah tular dalam media sosial.
“Pengadu turut memaklumkan gambar-gambar lucah itu turut cuba dijual secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek menyunting gambar-gambar berkenaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berdasarkan gambar-gambar diperolehi dari media sosial.
Katanya, suspek yang disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu kini direman empat hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












