‘Saya harap keadilan dan kebenaran’ – Syed Saddiq
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman di sini pagi ini bagi menghadiri prosiding keputusan rayuan akhir membabitkan kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba bersendirian pada pukul 8.55 pagi dan dilihat tenang ketika memasuki pekarangan Mahkamah Persekutuan.
Sebelum memasuki bangunan mahkamah, beliau sempat memberikan kenyataan ringkas kepada pengamal media yang sudah berkumpul sejak awal pagi.
“Saya harap keadilan dan kebenaran. Doakan,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Turut hadir memberikan sokongan ialah bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Alsagoff; ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, serta tunangnya, Bella Astillah.
Menurut Syed Abdul Rahman, seluruh keluarga sentiasa mendoakan yang terbaik buat anaknya.
“Bagi pihak keluarga, kami memberikan restu dan doa sebanyak mungkin untuk beliau. Insya-Allah, karier beliau sebagai Yang Berhormat akan diteruskan. Amin,” katanya.
Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan terhadap rayuan pendakwaan pada pukul 9 pagi, sekali gus menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau sabitan serta hukuman yang pernah dikenakan terhadapnya dikembalikan.
Keputusan itu sebelum ini ditangguhkan pada 30 Jun lalu selepas seorang daripada tiga hakim panel mengambil cuti sakit.
Panel yang mendengar rayuan tersebut terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais; Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Saddiq dengan mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan pembebasan tersebut.
Syed Saddiq sebelum ini didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, melakukan pecah amanah membabitkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta pada 6 Mac 2020.
Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan wang RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise serta dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya. Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini adalah muktamad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








