BERITA SEMASA

BERSAMA hilang deposit semua 15 kerusi PRN Johor – Rafizi

JOHOR BAHRU – Parti BERSAMA mengakui gagal mencapai sasaran dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila kesemua 15 calonnya dijangka hilang deposit selepas memperoleh purata antara tiga hingga enam peratus undi berdasarkan analisis awal keputusan pengundian.

Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, maklumat yang diterima daripada Borang 14 di saluran mengundi serta keputusan tidak rasmi yang dilaporkan media menunjukkan semua calon BERSAMA tidak mencapai syarat minimum 12.5 peratus undi untuk mengekalkan deposit.

Beliau berkata, pencapaian itu juga tidak memenuhi sasaran parti yang menetapkan sekurang-kurangnya 15 peratus undi bagi setiap kerusi yang ditandingi.

“Analisis awal mendapati berlaku peralihan undi yang ketara kepada Barisan Nasional (BN) merentasi pelbagai segmen pengundi tanpa mengira umur dan kaum, sekali gus memberi kesan kepada prestasi semua parti lawan termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), BERSAMA dan MUDA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, parti itu akan menjalankan penelitian menyeluruh terhadap keputusan pengundian bagi mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam usaha memenangi sokongan rakyat pada masa hadapan.

Dalam kenyataannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memberikan sokongan kepada BERSAMA meskipun parti itu baru berusia 52 hari.

Rafizi juga mengucapkan terima kasih kepada semua calon, ahli, sukarelawan dan penyokong yang telah bertungkus-lumus sepanjang kempen PRN Johor 2026.

Beliau memaklumkan satu majlis penghargaan secara ringkas akan diadakan di ibu pejabat baharu BERSAMA selepas premis berkenaan siap digunakan dalam tempoh kira-kira dua minggu.

“Walaupun keputusan PRN Johor tidak berpihak kepada BERSAMA, pengalaman berkempen ini akan menjadi asas penting dalam membina dan memperkukuhkan parti. Insya-Allah, kami akan terus berusaha agar rakyat Malaysia menerima BERSAMA pada masa akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button