JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas konvoi RXZ: Polis siasat video tular dakwa penunggang berlumba

KUANTAN – Polis sedang menyiasat rakaman video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ dipercayai melakukan aksi berbahaya sebelum nahas di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, awal pagi tadi yang mengorbankan empat penunggang dan mencederakan 20 lagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistan Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal terhadap rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular itu mendapati kumpulan penunggang motosikal berkenaan dipercayai sedang berlumba ketika kejadian.

“Berdasarkan siasatan lanjut, kumpulan penunggang motosikal terbabit dipercayai berlumba.

“Lebih 30 motosikal terbabit dalam kemalangan itu,” katanya memetik laporan Metro Online.

Rakaman video berdurasi kira-kira seminit yang dirakam sekitar pukul 12.05 tengah malam itu menunjukkan beberapa penunggang Yamaha RXZ melakukan aksi berbahaya termasuk menunggang dalam posisi ‘superman’ di LPT sebelum kemalangan berlaku kira-kira sejam kemudian.

kemalangan
Keadaan di lokasi nahas yang mengorbankan empat penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Kuantan, awal pagi tadi. – Foto PDRM

Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, sebuah motosikal dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah kereta yang berada di lorong kanan lebuh raya sebelum beberapa penunggang lain gagal mengelak, sekali gus mencetuskan pelanggaran berantai membabitkan lebih 30 motosikal.

Ketika kejadian, semua motosikal dan kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kemaman, Terengganu.

Nahas itu mengorbankan Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dan Mohd Aizat Husni, 33, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

BACA JUGA:
Empat penunggang RXZ maut dalam nahas libat 13 kenderaan di LPT
Nahas konvoi RXZ: Lebih 30 motosikal terbabit, 20 cedera selain empat maut

Seramai 20 mangsa lain cedera dengan 18 daripadanya menerima rawatan di HTAA, manakala dua lagi dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, Pengurus Operasi sebuah restoran di Indera Mahkota, Rizuan Abdullah, 44, berkata, hampir 100 penunggang motosikal berkumpul di premis berkenaan bagi menghadiri jamuan makan malam sebelum meneruskan perjalanan.

Menurutnya, kebanyakan mereka merupakan penunggang Yamaha RXZ dari Terengganu dan sekitar Kuantan.

“Semua mereka pulang selepas pukul 12 tengah malam sebaik hujan berhenti dan pada pukul 1.30 pagi saya dimaklumkan oleh rakan mangsa mengenai kemalangan itu.

“Sejak kejadian itu, ramai pengguna media sosial mengecam mangsa yang terlibat dalam nahas berkenaan.

“Saya berharap netizen tidak terus mengecam mangsa kerana mereka cuma menunggang motosikal sebagai hobi dan untuk beriadah,” katanya ketika ditemui di HTAA.

Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan termasuk meneliti rakaman video tular serta mendapatkan keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button