BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump dakwa Iran mahu rundingan, Tehran segera nafi

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Iran meminta rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) diteruskan ketika konflik antara kedua-dua negara masih berlarutan, namun dakwaan itu segera dinafikan Tehran.

Menerusi hantaran di platform Truth Social pada Jumaat, Trump berkata AS bersetuju untuk meneruskan perbincangan dengan Iran, tetapi menegaskan gencatan senjata yang dicapai pada 17 Jun lalu tidak lagi berkuat kuasa.

“Republik Islam Iran telah meminta kami untuk meneruskan perbincangan. Kami bersetuju, tetapi Amerika Syarikat telah menjelaskan bahawa gencatan senjata itu sudah tamat,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, jurucakap Kementerian Luar Iran menegaskan Tehran tidak pernah meminta rundingan baharu dengan Washington.

Sebaliknya, beliau berkata, Iran hanya menerima kunjungan delegasi dari Qatar yang bertindak sebagai pengantara bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kebuntuan antara kedua-dua negara.

Pada masa sama, Tehran memberi amaran akan mengambil tindakan balas sekiranya AS melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.

Konflik antara AS dan Iran terus memuncak sejak tercetusnya perang pada 28 Februari lalu, dengan kedua-dua negara kerap mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung usaha diplomatik dan perkembangan di medan perang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button