Jenazah Ali Khamenei selamat dikebumi, upacara berlangsung ketika ketegangan Iran-AS kembali memuncak
MASHHAD – Jenazah bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei selamat dikebumikan dalam upacara besar-besaran di kota kelahirannya semalam, ketika ketegangan baharu antara Tehran dan Washington terus memuncak.
Kerajaan Iran akhirnya menyempurnakan pengebumian Allahyarham Ali Khamenei selepas lebih empat bulan beliau dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS)-Israel pada Februari lalu.
Upacara pengebumian di bandar kelahirannya, Mashhad itu dihadiri ribuan orang yang membanjiri kawasan sekitar makam Imam Reza bagi memberi penghormatan terakhir.

Media kerajaan Iran melaporkan, pengebumian itu berlangsung ketika kedua-dua negara saling melancarkan serangan, dengan AS didakwa menyerang beberapa sasaran termasuk kawasan berhampiran sebuah loji tenaga nuklear dan landasan kereta api Tehran-Mashhad.
Sebagai tindak balas, Iran mendakwa melancarkan serangan terhadap aset tentera AS di Kuwait, Bahrain dan Qatar, manakala Jordan memaklumkan tenteranya berjaya memintas beberapa peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Khamenei dilaporkan terbunuh bersama beberapa ahli keluarganya pada 28 Februari lalu dalam serangan yang mencetuskan konflik antara Iran, AS dan Israel.
Bagaimanapun, anaknya yang juga pengganti beliau, Mojtaba Khamenei, sekali lagi tidak kelihatan sepanjang upacara pengebumian, sekali gus terus mencetuskan spekulasi mengenai keadaannya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran negaranya bersedia melancarkan serangan terhadap Iran buat kali ketiga sekiranya perlu, manakala Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menegaskan Israel bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam perkembangan berkaitan, ketegangan di Selat Hormuz turut meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak dunia apabila trafik perkapalan di laluan strategik itu dilaporkan semakin berkurangan susulan beberapa insiden serangan ke atas kapal sejak awal minggu ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















