POLITIK

PRN Johor: Johor bukan ‘halaman belakang’ Singapura, sebaliknya rakan setara – Alan Tee

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Alan Tee Boon Tsong menegaskan Johor tidak seharusnya dilabel sebagai “halaman belakang” Singapura kerana ia boleh menjejaskan imej serta maruah negeri itu di mata dunia.

alan tee
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Alan Tee Boon Tsong

Menurut beliau, Johor dan Singapura sepatutnya dilihat sebagai rakan strategik yang saling melengkapi dan berkembang bersama, bukannya dalam hubungan yang meletakkan Johor sebagai pihak bawahan.

Beliau mengulas kenyataan Exco Kerajaan Johor sementara, Ling Tian Soon, yang dilaporkan menyebut usaha membangunkan Greater Johor Bahru sebagai “halaman belakang Singapura” dalam satu temu bual bersama media republik itu.

“Pada mulanya beliau bercakap mengenai pencapaian yang telah dilakukan dan itu tidak menjadi masalah.

“Namun pada penghujung temu bual tersebut, beliau menyatakan hasrat untuk membangunkan Greater Johor Bahru sebagai halaman belakang Singapura.

“Ketika ini, kita sepatutnya memberikan gambaran lebih besar dan membanggakan mengenai Johor, bukannya meletakkan negeri ini sebagai halaman belakang negara lain. Kita adalah ‘sibling cities’, bukannya halaman belakang Singapura,” katanya pada sidang media PH di Johor Bahru hari ini.

Menurut Alan, kenyataan sedemikian mungkin kelihatan sebagai satu bentuk kerendahan hati, namun hakikatnya boleh menyebabkan Johor dipandang rendah oleh pihak luar.

“Saya bercakap bukan semata-mata sebagai calon pilihan raya, tetapi sebagai rakyat Johor yang sayangkan negeri ini.

“Kita perlu mempunyai keyakinan terhadap kemampuan sendiri dan mempromosikan Johor sebagai sebuah negeri yang mempunyai kekuatan ekonomi, bakat serta potensi pembangunan yang besar,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa Ling menarik balik kenyataan tersebut demi menjaga maruah dan harga diri rakyat Johor.

Alan berkata, Johor kini berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab ekonomi, logistik, teknologi dan pelaburan utama di rantau ini, terutama dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Johor mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri. Kita perlu membina negeri ini sebagai rakan yang setara dan dihormati, bukannya bergantung kepada persepsi bahawa kita hanya menjadi pelengkap kepada ekonomi negara lain.

“Johor berhak dikenali sebagai negeri yang maju, berdaya saing dan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya lagi.

Sidang media tersebut turut dihadiri calon PH DUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng, calon DUN Larkin, Suhaizan Kayat, calon DUN Tiram, Norlaili Abd Ghani, calon DUN Skudai, Kartiyaini Jeyapalan dan calon DUN Johor Jaya, Lee Wern Yiing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button