BERITA SEMASA

KKR mohon peruntukan lebih RM70 juta bagi naik taraf laluan FT1 Simpang Pulai-Gopeng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon peruntukan lebih RM70 juta bagi melaksanakan kerja awalan projek menaik taraf Jalan Persekutuan 1 (FT1) dari Simpang Tol Simpang Pulai ke Pekan Gopeng menerusi Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian sedia maklum mengenai keperluan menaik taraf laluan berkenaan yang sering dibangkitkan oleh penduduk dan pengguna jalan raya.

Menurutnya, dua cadangan projek telah dikemukakan kepada Agensi Pusat untuk pertimbangan kelulusan.

“Cadangan pertama ialah kerja awalan projek menaik taraf Laluan Persekutuan 1 (FT001) dari Seksyen 577 hingga Seksyen 584 di daerah Kinta dan Kampar dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM45.21 juta.

“Cadangan kedua melibatkan kerja awalan pembinaan persimpangan bertingkat di FT001 dari Seksyen 584 hingga Seksyen 585.4 di daerah Kinta dengan anggaran kos RM24.84 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang meminta penjelasan mengenai rancangan menaik taraf jalan dari Simpang Tol Simpang Pulai ke Pekan Gopeng, termasuk skop cadangan, justifikasi, peruntukan dan jangka masa pelaksanaannya.

Menurut Alexander, skop kerja awalan bagi kedua-dua projek itu meliputi penyiasatan tapak, kerja ukur, pemetaan utiliti, pelantikan perunding, pengambilan balik tanah, pelaksanaan Makmal Kejuruteraan Nilai, Makmal Pengurusan Nilai serta penyediaan Pelan Pengurusan Risiko.

“Bagaimanapun, keputusan berhubung permohonan projek tersebut akan diketahui selepas pembentangan Bajet Kerajaan bagi tahun 2027,” katanya.

Tambah beliau, KKR sentiasa mengambil berat keperluan pembangunan infrastruktur di seluruh negara bagi memastikan jaringan jalan raya yang selamat, selesa dan berdaya tahan dapat dinikmati oleh rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button