PRN Johor: Pandak komited perkasa ekonomi Kota Iskandar
JOHOR BAHRU – Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Pandak Ahmad komited memperkasa ekonomi setempat menerusi manifesto yang memfokuskan pembangunan menyeluruh, sekali gus memastikan manfaat kemajuan Johor dapat dinikmati rakyat.
Beliau berkata, manifesto yang menggariskan 10 komitmen itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya pelan tindakan yang memberi keutamaan kepada aspek pendidikan, kesihatan, infrastruktur, perumahan, peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti.
Menurutnya, komitmen tersebut turut merangkumi usaha memperkukuh ekonomi Tanjung Kupang, membangunkan Pasar Awam Taman Nusantara, menyediakan tanah perkuburan Islam, membantu pembangunan rumah ibadah serta menyelesaikan isu penempatan kampung setinggan.
“Masa depan tidak dibina dengan kata-kata, tetapi dengan perancangan dan tindakan.
“Komitmen ini dibawa bagi memastikan Kota Iskandar terus berkembang, ekonomi terus diperkasakan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Pandak berkata, ekonomi Johor yang kukuh perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Dengan kestabilan, Johor mampu menarik pelaburan baharu, membuka peluang kerja dan menggerakkan hasil negeri untuk pembangunan rakyat.
“Hasil negeri mesti kembali kepada rakyat Johor,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat bersama-sama merealisasikan aspirasi menjadikan Kota Iskandar sebuah kawasan yang lebih maju, makmur dan sejahtera di bawah slogan ‘Kota Iskandar Gemilang, Kita Bina Bersama’.
DUN Kota Iskandar antara kawasan dengan jumlah pengundi terbesar di Johor iaitu sekitar 131,000 orang.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, ia menyaksikan persaingan empat penjuru di DUN tersebut.
Selain Pandak, turut bersaing ialah bekas ADUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH); calon Perikatan Nasional (PN), S Anna Pravina dan Sahrudin Omar mewakili Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















