Kerajaan sambut baik inisiatif bank bantu rakyat, PMKS hadapi tekanan kos sara hidup
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI menyambut baik langkah industri perbankan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu pelanggan individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, termasuk kesan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluaskan akses kewangan yang lebih mudah, berpatutan dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan saranan kerajaan supaya sektor kewangan terus mengamalkan nilai ihsan dan ekonomi yang lebih manusiawi dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat serta perniagaan kecil.
“Antara langkah yang diumumkan ialah pengenalan Kad Kredit Asas, pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di semua ATM bank di Malaysia serta bantuan bersasar kepada peminjam dan PMKS yang terkesan.
“Dalam keadaan rakyat dan PMKS berdepan tekanan kos serta aliran tunai, institusi kewangan berperanan penting membantu pelanggan mereka dengan penyelesaian yang berhemat, tangkas dan berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Kad Kredit Asas menawarkan kadar pembiayaan maksimum 14 peratus setahun berbanding sehingga 18 peratus ketika ini, selain had kredit yang lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kredit secara berhemah.
Katanya, pemegang kad kredit sedia ada juga dibenarkan memindahkan baki tertunggak ke akaun Kad Kredit Asas tanpa dikenakan sebarang caj.
Sementara itu katanya, mulai 1 Julai lalu, rakyat Malaysia boleh membuat pengeluaran wang tunai di lebih 14,000 ATM yang dikendalikan bank di seluruh negara tanpa dikenakan caj RM1.
“Bagi peminjam yang terjejas akibat krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat, bank-bank turut menawarkan bantuan bersasar mengikut keperluan masing-masing termasuk penangguhan sementara bayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran dan pelanjutan tempoh pembiayaan.
“Sejak akhir April lalu, bank-bank telah menerima dan memproses permohonan penstrukturan semula pinjaman membabitkan pembiayaan melebihi RM4.7 bilion melibatkan lebih 1,100 peminjam,” katanya.
Sementara itu katanya, di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bernilai RM5 bilion, kira-kira RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan setakat lalu kepada sekitar 1,500 peminjam PKS yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, dengan baki kira-kira RM4 bilion masih tersedia untuk sokongan lanjut.
“Kerajaan turut menggalakkan peminjam dan PMKS yang memerlukan bantuan supaya menghubungi bank masing-masing lebih awal.
“Mereka juga boleh mendapatkan sokongan tambahan melalui skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), Credit Guarantee Corporation (CGC) serta khidmat nasihat kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















