Pemandu lori maut diserang sakit jantung, kenderaan mengundur langgar kereta
KAJANG – Seorang pemandu lori warga emas meninggal dunia selepas dipercayai mengalami serangan jantung sebelum kenderaan dipandunya mengundur dan melanggar sebuah kereta di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.20 petang, lelaki tempatan berusia 64 tahun itu dilaporkan sedang dalam perjalanan dari Sungai Buloh menuju ke Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asistan Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu sebelum lori yang dipandunya bergerak mengundur dan merempuh sebuah kereta yang berada di belakang.
Katanya, kereta berkenaan dipandu seorang wanita tempatan berusia 46 tahun.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Serdang dan punca kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Jabatan Forensik adalah disebabkan saluran jantung tersumbat.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya Malaysia 1959 (LN 166/59) dan kes kematian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-456 5502 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















