BERITA SEMASA

PH tawar penjagaan kesihatan primer percuma di Johor

TEBRAU – Pakatan Harapan (PH) komited membawa transformasi sektor kesihatan di Johor dengan menawarkan sistem penjagaan kesihatan primer secara percuma sekiranya diberi mandat mentadbir negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

sathia prakash
Dr Sathia Prakash Nadarajan

Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, model berkenaan boleh dilaksanakan menerusi pendekatan yang telah terbukti berjaya di Selangor melalui program Iltizam Selangor bagi membantu rakyat mendapatkan rawatan kesihatan tanpa dibebani kos yang tinggi.

Menurut beliau yang juga seorang pakar perubatan, akses kepada penjagaan kesihatan primer yang cepat amat penting bagi memastikan penyakit dapat dikesan lebih awal sebelum menjadi lebih serius.

“Kesihatan wajib percuma. Di Johor, kita mahu penduduk mendapat rawatan secepat mungkin. Masalah sekarang ialah rakyat takut mendapatkan rawatan di klinik swasta kerana kos yang mahal, manakala di Klinik Kesihatan pula mereka perlu menunggu terlalu lama,” katanya ketika ditemui semasa program pemeriksaan kesihatan percuma di DUN Puteri Wangsa semalam.

Sathia berkata, pemeriksaan awal melalui ujian mudah seperti elektrokardiogram (ECG) yang menelan kos kurang daripada RM50 mampu membantu mengesan penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi lebih awal.

“Jika penjagaan primer dapat diselesaikan dengan cepat, kita boleh mengurangkan beban terhadap sistem penjagaan kesihatan sekunder dan tertiari,” katanya lagi.

Beliau turut berpandangan bahawa masalah kesesakan di fasiliti kesihatan awam di Johor tidak semestinya diselesaikan melalui pembinaan hospital atau klinik baharu yang memerlukan kos tinggi dan tempoh masa yang panjang.

Sebaliknya, katanya, kerajaan boleh memanfaatkan rangkaian klinik swasta sedia ada dengan memperkenalkan sistem yang membolehkan rakyat mendapatkan rawatan di klinik berhampiran kediaman mereka dengan kos minimum yang ditanggung kerajaan.

“Kita tidak perlu terlalu bergantung kepada pembinaan bangunan baharu. Fasiliti kesihatan swasta sudah banyak tersedia. Apa yang penting ialah mewujudkan sistem yang memudahkan rakyat mendapatkan rawatan,” ujarnya lagi.

Mengulas kemampuan Johor untuk melaksanakan inisiatif tersebut, Dr Sathia berkata, negeri itu mempunyai asas ekonomi yang kukuh kerana merupakan antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Beliau turut menyifatkan pelbagai penambahbaikan dalam sektor kesihatan yang dilaksanakan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sebagai bukti bahawa agenda memperkukuh sistem kesihatan awam boleh direalisasikan.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Johor supaya keluar mengundi pada 11 Ogos bagi memastikan kadar penyertaan pengundi lebih tinggi berbanding pilihan raya lalu.

“Jangan biarkan peratusan keluar mengundi rendah seperti sebelum ini. Kita berharap sekurang-kurangnya 85 peratus pengundi keluar mengundi demi masa depan Johor dan Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button