LIMA’27: Empat pasukan aerobatik antarabangsa dijangka gegar langit Langkawi
KUALA LUMPUR – Sebanyak empat pasukan aerobatik antarabangsa dijangka memeriahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) menerusi persembahan udara di ruang langit Langkawi pada April tahun depan, sekali gus menjadikan edisi kali ini lebih berprestij.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Malek Razak Sulaiman berkata, pasukan yang diundang ialah Black Eagles dari Korea Selatan, Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu, Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia dan Russian Knights dari Rusia.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, penyertaan kesemua pasukan berkenaan masih tertakluk kepada pengesahan akhir serta perkembangan situasi geopolitik semasa.
“LIMA sentiasa menjadi platform dinamik di mana teknologi bertukar menjadi perkongsian, dan idea berubah menjadi peluang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) mewakili Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini.
Menurut Abdul Malek, penganjuran edisi ke-18 LIMA itu dijangka menyaksikan penyertaan lebih besar dengan menghimpunkan sehingga 110 pesawat serta aset udara, selain 90 kapal dan aset maritim.
Katanya, sambutan awal daripada pemain industri juga amat menggalakkan apabila kira-kira 40 peratus ruang pameran telah ditempah dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran awal acara berkenaan.
Beliau berkata, LIMA’27 menyasarkan penyertaan sebanyak 930 syarikat pameran, meningkat kira-kira 15 peratus berbanding edisi terdahulu.
“Kita juga menyasarkan kehadiran 60,000 pelawat perdagangan dan sehingga 400,000 pengunjung awam sepanjang lima hari acara berlangsung,” katanya lagi.
Dalam pada itu, LIMA’27 turut memberi penekanan kepada lapan segmen teknologi masa depan termasuk pembangunan kapal autonomi, pesawat tanpa pemandu atau dron, keselamatan siber serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pertahanan.
Sebagai sebahagian daripada program menjelang LIMA’27, Kementerian Pertahanan bersama penganjur bersama, Global Exhibition and Conferences Sdn Bhd (GEC), akan menganjurkan LIMA Run pada 25 Oktober 2026 di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.
Program berkenaan bertujuan mendekatkan penganjuran LIMA dengan masyarakat selain menyemarakkan momentum menjelang acara utama yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 April 2027 di Langkawi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















