Ketua Staf Markas ATM dilantik Panglima Tentera Darat baharu
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md. Othman sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31 berkuat kuasa 1 Januari ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia itu dibuat selaras keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November lalu.
Tambah beliau, pelantikan tersebut juga telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember lalu.
“Pelantikan ini diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia serta meningkatkan keupayaan operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara kini dan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga : Panglima Tentera Darat bercuti serta-merta hingga siasatan selesai – Khaled Nordin
Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan, pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera berkaitan pelantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) telah ditangguhkan.
Beliau berkata, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan beliau.
Sehubungan itu, pemangkuan tugas PAT akan dilaksanakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, sebagaimana pengumuman yang dibuat pada 27 Disember lalu.
Tegas Mohamed Khaled, semua langkah yang dilaksanakan bertujuan menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti ATM, di samping memastikan tugas mempertahankan kedaulatan negara terus dilaksanakan dengan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















