BERITA SEMASA

Pameran TERHUBUNG tarik hampir 1,000 pengunjung, angkat fotografi kewartawanan sebagai medium bina kefahaman

KUALA LUMPUR – Pameran Fotografi Kewartawanan dan Dokumentari Visual TERHUBUNG melabuhkan tirainya dengan sambutan memberangsangkan apabila menarik hampir 1,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Muzium Telekom, di sini.

Pameran yang berlangsung dari 26 hingga 28 Jun lalu itu menghimpunkan pengamal media, jurugambar profesional, penggiat seni visual, mahasiswa serta orang awam, sekali gus membuktikan minat masyarakat terhadap karya fotografi yang membawa naratif mendalam dan nilai kemanusiaan masih tinggi.

Bertemakan ‘Dalam dunia yang semakin terhubung, kefahaman menjadi lebih penting daripada sekadar capaian’, TERHUBUNG mengetengahkan pelbagai karya fotografi kewartawanan dan dokumentari yang merakam peristiwa penting, isu kemanusiaan, perubahan sosial serta realiti masyarakat di Malaysia dan antarabangsa.

pameran
Antara karya yang dipersembahkan dalam pameran ini.

Pameran itu dianjurkan dengan kerjasama Kongsi Hub dan Yayasan TM, selain turut menampilkan siri perkongsian ilmu bersama pengamal industri mengenai fotografi kewartawanan, dokumentari visual serta etika pelaporan visual.

Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar berkata, dalam dunia yang semakin saling terhubung, cabaran utama hari ini bukan lagi sekadar memastikan maklumat dapat disampaikan dengan pantas, tetapi bagaimana masyarakat dapat membina kefahaman serta empati terhadap setiap isu yang berlaku.

“Itulah semangat di sebalik penganjuran TERHUBUNG, iaitu menggunakan penceritaan visual untuk menghubungkan manusia, memupuk persefahaman dan mengajak masyarakat melihat dunia daripada pelbagai perspektif.

“Pameran ini bukan sekadar mempamerkan koleksi gambar, sebaliknya mengetengahkan kisah dan makna di sebalik setiap karya.

“Melalui fotografi kewartawanan dan dokumentari visual, kita dapat melihat bagaimana komunikasi bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah membina pemahaman, membentuk persepsi dan menyemai kesedaran dalam komuniti,” katanya.

yayasan tm
Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar (tengah) ketika ditemubual pemberita sempena Pameran Fotografi Kewartawanan dan Dokumentari Visual TERHUBUNG.

Beliau berkata, pameran itu turut mencerminkan aspirasi Yayasan TM untuk menjadikan seni, budaya dan warisan sebagai platform pembelajaran, perkongsian ilmu serta penglibatan komuniti.

“Kami percaya seni yang terus dihidupkan melalui pendekatan yang relevan bukan sahaja mampu memelihara sejarah, malah membina kefahaman dan menyemai inspirasi kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Kurator Kongsi Hub, Syaiful Redzuan Md Noor berkata, sambutan yang diterima membuktikan masyarakat masih menghargai fotografi kewartawanan sebagai medium yang bukan sahaja merakam sesuatu peristiwa, malah membantu membina kefahaman terhadap isu-isu yang berlaku.

“Kami amat bersyukur dengan sambutan yang diterima sepanjang tiga hari pameran ini berlangsung. Kehadiran hampir 1,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang menunjukkan fotografi kewartawanan masih mempunyai tempat yang penting dalam masyarakat.

“TERHUBUNG bukan sekadar sebuah pameran, tetapi menjadi ruang untuk masyarakat melihat, memahami dan berdialog mengenai pelbagai isu melalui kuasa visual.

“Kami berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh budaya literasi visual dan penghargaan terhadap fotografi dokumentari di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sekitar pameran Fotografi Kewartawanan dan Dokumentari Visual TERHUBUNG yang berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2026 di Muzium Telekom.

Sepanjang penganjurannya, TERHUBUNG bukan sekadar menjadi ruang pameran, malah berkembang sebagai platform wacana yang mempertemukan wartawan, jurugambar, pelajar, penyelidik dan masyarakat umum bagi membincangkan peranan fotografi sebagai medium penyampaian maklumat yang bertanggungjawab serta pembinaan empati dalam era digital.

Pameran itu turut menerima kunjungan beberapa tetamu kehormat termasuk Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar, dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Ashwad Ismail.

Selain itu, beberapa institusi pendidikan turut menghantar wakil dan pelajar bagi mengunjungi pameran berkenaan, antaranya Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Selangor (UNISEL), UM-Wales, Universiti Sultan Azlan Shah, R.E.A.L Schools dan Multimedia University (MMU).

pameran
Penuntut dari UM-Wales bergambar di pameran Fotografi Kewartawanan dan Dokumentari Visual TERHUBUNG.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua jurugambar yang menyumbangkan karya, panel jemputan, sukarelawan, rakan media, rakan strategik, Muzium Telekom, Telekom Malaysia, institusi pengajian tinggi serta para pengunjung yang menjayakan TERHUBUNG.

Menurut penganjur, kejayaan penganjuran itu menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan dalam memperkukuh budaya literasi visual, memupuk penghargaan terhadap fotografi dokumentari dan menggalakkan lebih banyak inisiatif yang menghubungkan masyarakat melalui kuasa sesebuah gambar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button