Pameran ATEX Malaysia 2026 perkukuh peranan Malaysia sebagai hab tekstil dan pakaian serantau
KUALA LUMPUR – Peranan Malaysia sebagai hab serantau bagi pembuatan, penyumberan dan inovasi pakaian serta tekstil diperkembangkan lagi menerusi penganjuran Pameran Pakaian dan Tekstil Malaysia (ATEX Malaysia 2026).
Pameran yang julung kali diadakan itu dianjurkan ketika sektor Pakaian dan Aksesori Pakaian Malaysia terus mencatatkan momentum pertumbuhan kukuh.
Dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 25 hingga 27 Jun, ATEX Malaysia 2026 dianjurkan oleh Kaizer Exhibitions & Conferences Sdn Bhd dengan sokongan MATRADE.
Selain itu, pameran tersebut turut disokong oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), serta rakan strategik industri utama termasuk Persatuan Pengilang Tekstil Malaysia (MTMA), MyFashion Chamber, Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA), Persatuan Pencinta Tekstil Malaysia (CITRA) dan Bangladesh Knitwear Manufacturers & Exporters Association (BKMEA).
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pemecutan Eksport) MATRADE, S. Jai Shankar dan turut diserikan dengan kehadiran Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, TYT Manjurul Karim Khan Chowdhury; Pengarah Penglibatan dan Risikan Pasaran MyCEB, Encik Mohammad Isa Abdul Halim; Pengarah Urusan Kaizer Exhibitions and Conferences Sdn Bhd, Cik Belle Yam; wakil MTMA, MyFashion Chamber, WAWASANITA, CITRA, BKMEA, serta para duta, pemimpin industri, pempamer dan pembeli dari seluruh rantau.
Berdasarkan data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), industri tekstil tempatan merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM18.24 bilion pada 2025, meningkat 8.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kadar eksport meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM6.88 bilion, manakala eksport bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 melonjak 27.8 peratus, mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap keupayaan pembuatan dan daya saing eksport Malaysia.
ATEX Malaysia 2026 menghimpunkan 79 syarikat pempamer dari Malaysia, Bangladesh, China, India, Indonesia dan Jepun, sekali gus menjadi platform perniagaan serantau yang menghubungkan pengilang, pembekal, pembeli, profesional penyumberan dan penyedia teknologi di sepanjang rantaian nilai tekstil dan pakaian.
Sebagai platform sehenti penyumberan serantau untuk industri pakaian dan tekstil, ATEX Malaysia 2026 membolehkan syarikat meneroka pembekal baharu, mendapatkan maklumat mengenai teknologi pembuatan terkini, bertukar pandangan pasaran serta membina kerjasama strategik bagi menyokong pembangunan rantaian bekalan serantau dan perdagangan antarabangsa.
Penyertaan antarabangsa menjadi antara tarikan utama pameran berkenaan dengan penyertaan pempamer dan delegasi negara dari Bangladesh, China, India, Indonesia, Jepun dan Malaysia.
Kesemua peserta mengetengahkan inovasi terkini dalam pembuatan, teknologi tekstil, pengeluaran mampan serta penyelesaian fesyen, selain memperkukuh hubungan rantaian bekalan serantau dan kerjasama perniagaan rentas sempadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








