Pelajar antarabangsa tidak mengambil hak pelajar tempatan – Naib Canselor UniMAP
KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memandang serius dakwaan segelintir pihak bahawa kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam (UA) telah menjejaskan peluang anak tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Naib Canselornya, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, sebagai sebuah universiti awam dalam rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN), UniMAP menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak menggambarkan dasar sebenar pengajian tinggi negara.
Beliau menjelaskan, agenda pengantarabangsaan bukanlah dasar baharu, sebaliknya merupakan salah satu Teras Strategik Kelima Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi bertaraf dunia.
“Dasar ini dibangunkan melalui kajian menyeluruh yang mengambil kira amalan terbaik negara maju serta penanda aras daripada UNESCO, OECD dan Bank Dunia,” kata beliau dalam kenyataan media.
Zaliman berkata, perlu difahami bahawa pelajar antarabangsa tidak mengambil tempat pelajar tempatan di mana kemasukan mereka diurus melalui mekanisme yang berasingan dengan syarat kemasukan yang ketat.
Jelas beliau, kelulusan mereka adalah tertakluk kepada kelulusan Senat Universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan proses saringan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS).
Melalui mekanisme ini, katanya, setiap permohonan pelajar antarabangsa menjalani tapisan akademik, imigresen dan dokumentasi sebelum dibenarkan mengikuti pengajian di Malaysia.
“Secara keseluruhannya, peratusan pelajar antarabangsa di universiti awam adalah sekitar 10 peratus atau kurang daripada jumlah enrolmen, sekali gus membuktikan bahawa majoriti besar tempat di universiti awam terus diperuntukkan kepada rakyat Malaysia,” tambahnya.
Di UniMAP sendiri, kata beliau, mandat utama adalah melahirkan modal insan negara dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan TVET.
Beliau berkata, statistik semasa turut membuktikan bahawa enrolmen pelajar antarabangsa di UniMAP adalah pada kadar yang sangat kecil.
“Daripada keseluruhan 15,796 orang pelajar UniMAP, hanya 631 orang merupakan pelajar antarabangsa, iaitu sekitar 4 peratus sahaja,” ujar beliau.
Bagi peringkat prasiswazah (undergraduate) pula, kata Zaliman hanya berjumlah 392 daripada 13,727 pelajar merupakan pelajar antarabangsa, bersamaan kira-kira 2.8 peratus.
“Angka ini jelas menunjukkan bahawa majoriti besar tempat pengajian di UniMAP terus diisi oleh pelajar tempatan,” kata beliau.
Sementara itu Zaliman menjelaskan Malaysia turut menyasarkan kehadiran 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2030, selaras aspirasi untuk muncul sebagai hab pendidikan tinggi yang diyakini dunia.
“Sebagai Naib Canselor UniMAP, saya menyeru semua pihak agar menilai isu ini berdasarkan fakta dan dasar yang telah digariskan, bukannya persepsi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” kata beliau.
Zaliman berkata, pengantarabangsaan bukan bermaksud membuka ruang sehingga menafikan hak rakyat Malaysia.
Sehubungan itu tegas beliau, UniMAP akan terus komited memastikan akses pendidikan tinggi kepada rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan, sambil memperkukuh agenda pengantarabangsaan demi manfaat universiti, negara dan generasi masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















