JENAYAH & MAHKAMAH

Bapa maut, 2 anak cedera dalam nahas selepas pulang makan malam

KEMAMAN – Kegembiraan seorang bapa membawa dua anak lelakinya keluar menikmati makan malam berakhir tragedi apabila dia maut, manakala anaknya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Kampung Cicar, Bukit Kuang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.10 malam itu, mangsa, Muhammad Zarol Che Aziz, 29, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.

Dua anak lelakinya yang turut membonceng motosikal jenis Yamaha 125ZR iaitu Muhammad Nuh Zaim, 2, dan Muhammad Luth Ziyad, 6, mengalami kecederaan di kepala serta beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai mekanik bersama dua anaknya dipercayai dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Rumah Murah Awam Kos Rendah, Bukit Kuang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki tiga beranak itu dipercayai tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kenderaan pikap, Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa bersama dua anaknya tercampak ke atas jalan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala kedua-dua anaknya dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button