POLITIK

Mersing kaya sumber, namun anak muda terpaksa berhijrah cari kerja

MERSING – Walaupun daerah Mersing memiliki keindahan alam semula jadi dan sumber ekonomi yang luas, golongan muda di kawasan itu masih terpaksa berhijrah ke bandar lain bagi mencari peluang pekerjaan.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Md Yusof Dawam berkata, keadaan itu berlaku kerana potensi ekonomi tempatan khususnya dalam sektor pelancongan dan industri kecil masih belum dimajukan secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau bertekad menjadikan pembangunan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan sebagai antara fokus utama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, usaha berkenaan termasuk memperkasa sektor pelancongan, menyelesaikan isu perumahan generasi kedua FELDA, mewujudkan pusat perniagaan yang lebih sistematik, membangunkan kompleks sukan lengkap serta melahirkan lebih ramai usahawan muda.

“Mersing bukan sahaja kaya dengan pulau dan pantai yang menarik, malah berpotensi menjadi pusat pelancongan utama negeri Johor sekiranya dimajukan secara tersusun.

“Ketika ini tumpuan pelancong hanya berpusat di beberapa lokasi tertentu seperti Pulau Tioman, sedangkan pulau-pulau lain di Mersing turut memiliki keunikan tersendiri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baca juga : Md Yusof tekad selesai isu tanah, perumahan generasi kedua FELDA

Md Yusof berkata, pembangunan sektor pelancongan perlu digerakkan bersama industri kecil seperti produk perikanan dan makanan tempatan termasuk ikan kering dan keropok bagi mewujudkan rantaian ekonomi setempat.

Menurutnya, usaha itu turut memerlukan penyediaan sistem pengangkutan laut yang lebih tersusun ke pulau-pulau terdekat bagi memudahkan akses pelancong serta merancakkan aktiviti ekonomi penduduk.

Selain itu, beliau berkata masalah infrastruktur jalan raya yang kurang memuaskan turut menjadi faktor penghalang kepada perkembangan ekonomi setempat kerana meningkatkan kos penghantaran barangan.

“Kita perlu bangunkan industri kecil dan sederhana, tetapi ia perlu disokong dengan sistem jalan raya yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, segala usaha itu penting bagi memastikan Mersing mampu berkembang setanding daerah lain di Johor sekali gus memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, khususnya golongan muda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button