Kementerian Komunikasi terima aduan calon PH jadi mangsa akaun WhatsApp palsu
BATU PAHAT – Kementerian Komunikasi menerima satu aduan berhubung penyalahgunaan aplikasi media sosial selepas seorang calon Pakatan Harapan (PH) menjadi mangsa penyamaran menerusi akaun WhatsApp palsu yang menggunakan identitinya pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, akaun WhatsApp palsu itu diwujudkan dengan menggunakan identiti calon terbabit sehingga mesej yang disebarkan dipercayai seolah-olah dihantar oleh individu berkenaan.
“Setakat ini, kita menerima satu aduan berkaitan penyalahgunaan media sosial membabitkan seorang calon PH yang identitinya digunakan untuk mewujudkan akaun WhatsApp palsu.
“Mesej yang disebarkan menerusi akaun berkenaan seolah-olah datang daripada calon itu. Itulah kes pertama yang kita terima dan setakat ini belum ada aduan lain atau aduan baharu,” katanya semasa Program Ziarah Kasih Jabatan Penerangan (JaPen) di Parit Sulong, Batu Pahat, semalam.
Menurut Fahmi, program turun ke lapangan sebegini sangat penting, bukan sekadar bertanya khabar, tetapi membawa sinergi hebat antara JaPen dan pelbagai agensi lain seperti PERKESO, e-Kasih (ICU) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata, tujuannya hanya satu, iaitu mengumpul maklumat tepat di akar umbi dan memastikan tiada satu pun keluarga yang tertinggal daripada menerima bantuan.
Pada masa sama, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) menyeru semua pihak supaya berkempen secara sihat dan beretika sempena PRN Johor.
Fahmi berkata, ia susulan terdapat segelintir pengguna media sosial yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat toksik dengan mengeluarkan kenyataan berbentuk cacian dan makian sepanjang tempoh kempen.
“Kalau boleh, kita mahu berkempen secara bersih dan sihat. Kita tidak mahu budaya mencaci atau memaki hamun”, katanya lagi.
Hari pengundian PRN Johor ke-16 akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















