JENAYAH & MAHKAMAH

Motosikal hilang kawalan, pelajar Tingkatan Dua maut rempuh kereta diparkir

GOMBAK – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta yang diparkir di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai Chinchin Batu 7, Jalan Gombak Lama menghala ke Batu 8, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asistan Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 3.23 petang menerusi kaunter aduan Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada pukul 2 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal secara bersendirian dalam perjalanan dari kediamannya di Jalan Gombak Batu 8 ¾ menuju ke arah Batu 7.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan terhadap motosikal yang ditunggangnya sebelum melanggar sebuah kereta yang diparkir di bahu jalan.

“Mangsa merupakan seorang pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan yang hadir ke tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman Che Musa menerusi talian 019-675 1727 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button