BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: Zahid puji semangat jentera BN, seru kempen penuh hikmah

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh jentera serta penyokong Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang kini memasuki minggu kedua.

Beliau berkata, sokongan padu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum yang terus bekerja keras membuktikan kesungguhan BN dalam memastikan kemenangan calon-calon gabungan itu.

“Melepasi tempoh seminggu berkempen, saya sangat berbangga melihat semangat luar biasa para penyokong BN daripada pelbagai kaum yang terus bekerja siang dan malam demi memastikan kemenangan calon-calon BN, sama ada di lapangan mahupun di alam maya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zahid turut mengingatkan seluruh jentera dan penyokong BN agar meneruskan kempen secara berhemah dengan menampilkan kelebihan calon serta menyampaikan tawaran terbaik kepada rakyat Johor.

Menurut beliau, setiap tindakan dan pendekatan yang diambil sepanjang tempoh berkempen akan menjadi perhatian dan penilaian rakyat negeri itu.

“Teruskan berkempen dengan penuh hikmah, tonjolkan kelebihan calon kita, sampaikan tawaran terbaik kepada rakyat dan sentiasalah menjaga adab kerana rakyat Negeri Johor sedang menilai setiap langkah kita,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan petugas kempen supaya menjaga kesihatan memandangkan masih terdapat beberapa hari lagi sebelum hari pengundian.

“Kempen-kempen juga, jangan lupa jaga kesihatan. Kita ada beberapa hari lagi ini.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita, mengurniakan kekuatan dan keberkatan kepada setiap usaha serta mengizinkan kemenangan yang terbaik buat Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya.

PRN Johor Kali Ke-16 akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal dilaksanakan pada 8 Julai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button