BERITA SEMASASUKAN

Haaland bawa Norway singkir Brazil, mara ke suku akhir

NEW JERSEY – Norway mencipta antara kejutan terbesar Piala Dunia 2026 apabila menyingkirkan juara lima kali, Brazil, menerusi kemenangan 2-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium MetLife, awal pagi tadi.

Penyerang sensasi, Erling Haaland muncul wira pasukan apabila meledak dua gol pada penghujung perlawanan sekali gus memastikan skuad Scandinavia itu melangkah ke suku akhir buat pertama kali dalam sejarah moden kejohanan.

Brazil memulakan perlawanan dengan penuh meyakinkan apabila menguasai sebahagian besar babak pertama dan mencipta beberapa peluang berbahaya, namun kekentalan benteng pertahanan Norway berjaya mengekang setiap percubaan Selecao.

Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-79 apabila Andreas Schjelderup melorongkan bola kepada Haaland sebelum penyerang Manchester City itu tenang melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol Brazil.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Brazil menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan, namun tindakan itu membuka ruang kepada serangan balas Norway.

Haaland sekali lagi menghukum kelekaan pertahanan lawan apabila melengkapkan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-90 untuk meletakkan Norway di hadapan 2-0.

Brazil yang memasukkan Neymar sebagai pemain gantian hanya mampu merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan, namun jaringan itu hadir terlalu lewat untuk mengubah keputusan perlawanan.

Norway akhirnya mempertahankan kelebihan tersebut sehingga wisel penamat, sekali gus melakar kemenangan bersejarah ke atas Brazil.

Keputusan itu mengimbau kenangan manis Norway ketika menewaskan Brazil 2-1 pada saingan Piala Dunia 1998 di Perancis, yang turut dianggap antara kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button