400,000 murid Tahun Empat duduki Penilaian Matriks Pembelajaran Oktober ini
PUTRAJAYA – Kira-kira 400,000 murid Tahun Empat dijangka menduduki Matriks Pembelajaran Tahun Empat kohort pertama yang akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dari 6 hingga 8 Okt ini.
Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian, Ab Aziz Mamat berkata, penilaian tersebut melibatkan empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta Bahasa Cina atau Bahasa Tamil bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), lapor BERNAMA.
“Setiap mata pelajaran diuji secara bertulis selama satu jam 15 minit manakala bagi murid berkeperluan khas pembelajaran dalam arus perdana, masa tambahan menjawab antara 30 hingga 60 minit diberikan,” katanya.
Ab Aziz berkata, pihak sekolah bertanggungjawab memastikan semua murid tahun empat didaftarkan untuk menduduki Matriks Pembelajaran Tahun Empat selain memastikan penyediaan kertas soalan secukupnya supaya tiada calon yang ketinggalan.
Bagi memastikan standard pentaksiran seragam di seluruh negara, beliau berkata, instrumen pentaksiran atau kertas soalan dibangunkan oleh pihak LP dengan guru yang terlibat dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran dalam kelas.
Instrumen pentaksiran dibangunkan berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran merangkumi kandungan pembelajaran tahun satu hingga tahun empat dengan item objektif dan subjektif, pelbagai bentuk dan aras kesukaran yang mengukur pengetahuan, aplikasi, penyelesaian masalah, penaakulan serta Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.
Pembinaan item atau soalan juga mengambil kira amalan pentaksiran antarabangsa seperti Southeast Asia Primary Learning Metrics, Trends in International Mathematics and Science Study dan Programme for International Student Assessment bagi membiasakan murid dengan standard pentaksiran antarabangsa.
“Kita telah memutuskan untuk memastikan keyakinan awam terhadap pentaksiran ini, maka ia akan dikendalikan secara berpusat oleh LP.
“Seperti peperiksaan pusat atau pentaksiran pusat yang lain, LP akan menyelaraskan percetakan kertas soalan yang setelah dilaksanakan, ia akan dihantar ke bilik kebal di seluruh negara. Bermaksud semua murid dan sekolah akan mendapat kertas soalan sama,” katanya lagi.
Ab Aziz berkata, murid yang mengikuti kelas Dual Language Program pula menerima kertas soalan dalam dwibahasa bagi mata pelajaran Sains dan Matematik manakala murid lain dibekalkan dengan kertas soalan dalam Bahasa Melayu.
Mengenai pemarkahan, beliau berkata, skrip jawapan murid diperiksa oleh guru mata pelajaran sendiri berpandukan skema pemarkahan yang disediakan LP selain melalui proses moderasi dan verifikasi bagi memastikan standard pemeriksaan terpelihara.
“Untuk Matriks Pembelajaran Tahun Empat, kita mahu guru itu sendiri tahu kedudukan, kelebihan, kekuatan dan kelemahan murid masing-masing semasa menanda kertas. Sebab itu, kita menetapkan skrip jawapan akan diperiksa oleh guru yang mengajar murid itu,” katanya lagi
Ab Aziz kemudiannya menambah, keputusan pentaksiran menggunakan sistem gred dan skor yang sama seperti Ujian Akhir Sesi Akademik, namun tidak digunakan sebagai syarat kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA atau sekolah khusus lain yang kekal menggunakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















