Peniaga burger meninggal dunia di pekarangan masjid
KULIM – Seorang peniaga burger ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh dari motosikal di pekarangan Masjid Al-Huda di Kelang Lama, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.10 malam itu, mangsa, Abdul Hisham Ismail, 56, dipercayai sedang dalam perjalanan untuk menunaikan solat di masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima maklumat daripada petugas Hospital Kulim berhubung seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan parkir masjid sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurut beliau, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) masjid mendapati mangsa menunggang motosikal memasuki kawasan parkir sebelum secara tiba-tiba terjatuh dan tersembam di atas jalan.
“Orang awam yang berada di lokasi segera memberikan bantuan kepada mangsa sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan burger berhampiran masjid berkenaan telah berniaga di kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu.
“Siasatan mendapati mangsa yang belum berkahwin tinggal di sebuah bilik stor miliknya sendiri sejak tiga tahun lalu kerana tidak mampu menyewa rumah.
“Mangsa juga dipercayai mempunyai sejarah penyakit jantung, namun tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital dan hanya mengambil ubat yang dibeli di farmasi,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















