BERITA SEMASA

Lelaki Cina tegur individu bawa anjing ke kawasan R&R raih pujian netizen

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki berbangsa Cina menegur seorang individu yang didakwa membawa anjing serta menikmati makanan tidak halal di kawasan tempat makan di sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) mengundang pujian netizen.

Menerusi satu rakaman video yang dikongsikan oleh pengguna media sosial, Mohd Saufee Ismail di platform Threads, kejadian itu didakwa berlaku di R&R Simpang Pulai arah selatan.

Rakaman berkenaan memaparkan seorang lelaki berbaju hitam menghampiri seorang pemuda berbaju putih yang berada di kawasan tempat makan sebelum menegurnya secara sopan berhubung tindakannya membawa anjing ke kawasan yang dikatakan dikhaskan untuk pengunjung yang menikmati makanan halal.

Dalam video tersebut, lelaki itu turut bertanyakan sama ada individu berkenaan merupakan warganegara Malaysia, sambil menjelaskan bahawa kawasan tersebut perlu dihormati oleh semua pihak.

“Ini kawasan halal. Tolong jadi seorang yang bertimbang rasa. Saya seorang Cina, saya juga suka anjing.

“Adakah awak seorang warganegara Malaysia? Kalau ya, awak patut tahu tidak boleh membawa anjing ke kawasan halal,” katanya dalam rakaman berkenaan.

Perkongsian video itu mendapat perhatian ramai di media sosial apabila rata-rata pengguna memuji tindakan lelaki terbabit yang disifatkan berani, berhemah dan menghormati sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sebahagian besar netizen turut menyifatkan teguran tersebut sebagai contoh sikap saling menghormati dan bertoleransi, khususnya di kawasan awam yang turut digunakan oleh masyarakat Islam.

“Salute dengan pak cik itu. Terima kasih kerana bertimbang rasa dengan kami yang beragama Islam.

“Soalan sama ada dia warganegara Malaysia atau tidak memang mempunyai maksud yang mendalam,” tulis seorang pengguna media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button