Tular video pelajar dibelasah di kebun sawit, keluarga tuntut keadilan
KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki dipercayai pelajar sekolah dibelasah beramai-ramai di kawasan kebun sawit di Tawau, Sabah dalam kejadian yang tular di media sosial hari ini.
Video berdurasi satu minit 58 saat yang dipercayai dirakam di kawasan Jalan Sri Delima, Merotai Besar itu memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa remaja, termasuk pelajar sekolah sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap budaya keganasan dalam kalangan pelajar.
Ia dimuat naik menerusi sebuah akaun Facebook yang dipercayai milik ahli keluarga mangsa dengan hantaran yang menegaskan mereka tidak mengharapkan simpati, sebaliknya menuntut keadilan ditegakkan.
“Doakan agar adik saya segera sembuh dan diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.
“Hari ini mangsanya orang lain, esok lusa kita tidak tahu siapa pula. Hentikan budaya pukul beramai-ramai. Tiada siapa yang berhak menjadi mangsa keganasan,” menurut hantaran tersebut.
Menurut ahli keluarga itu, mereka berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, adil dan menyeluruh supaya semua pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang berlaku di Jalan Sri Delima, Merotai Besar semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Tawau menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.09 malam sebelum siasatan segera dijalankan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 12 tengah hari ketika mangsa bersama tiga rakannya berjalan melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat.
“Ketika dalam perjalanan, mangsa didatangi sekumpulan pelajar sekolah yang dikenalinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan dipercayai bertanyakan tentang keberadaan dua individu sebelum salah seorang daripada mereka bertindak memukul mangsa.
“Tindakan itu kemudian diikuti beberapa pelajar lain yang turut menyerang mangsa secara beramai-ramai. Dalam kejadian sama, tiga rakan mangsa turut dipukul oleh kumpulan tersebut.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk sebelum tampil membuat laporan polis. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Menurut Wilynton, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta tindakan sewajarnya terhadap semua individu yang terlibat.
“Pihak polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau perbuatan samseng, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Beliau berkata, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Chong Fung Mee di talian 013-8840113 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















