Kerajaan rancang perkenal mekanisme penetapan harga minimum, perkhidmatan bagi pakej umrah
KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang untuk memperkenal mekanisme penetapan harga minimum dan keperluan perkhidmatan yang diseragamkan bagi pakej umrah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu adalah bagi melindungi jemaah dengan lebih baik serta memastikan kualiti perkhidmatan ditawarkan.
Apabila diperkenalkan kelak, mekanisme itu akan mewajibkan pengendali agensi pelancongan umrah mematuhi harga minimum bagi setiap pakej dan pada masa sama, menyatakan dengan jelas perkhidmatan yang disediakan dalam setiap pakej, lapor BERNAMA.
“Sebab itulah dalam isu umrah ini, kami amat serius… kami telah mengadakan mesyuarat dengan pelbagai agensi termasuk Tabung Haji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Sebentar tadi, saya telah maklumkan kepada Ketua Setiausaha kementerian berkenaan bahawa kita perlu menetapkan had minimum… bagi pakej umrah, harganya tidak boleh kurang daripada kadar tertentu namun perlu ada senarai perkhidmatan yang disediakan dalam setiap pakej,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Pelancongan Mesra Muslim Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2026, di sini hari ini.
Langkah itu juga tambahnya, bertujuan mengelakkan pengendali menawarkan pakej umrah pada harga yang terlalu rendah dan tidak munasabah sehingga boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta menyebabkan jemaah gagal menunaikan ibadah mereka seperti yang dirancang.
King Sing berkata, sebagai contoh pengendali boleh membezakan pakej umrah mereka mengikut kategori seperti Premium, Emas, Perak dan Platinum tetapi mesti mematuhi harga minimum yang ditetapkan bagi setiap pakej.
“Saya tak nak tengok berlaku… orang yang pergi untuk menunaikan ibadah umrah akhir sekali balik pun tak boleh, atau dia nak pergi umrah tak boleh… (atau) sampai sana tetapi tidak boleh laksanakan ibadah seperti yang dihasratkan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















