Iran mulakan upacara penghormatan terakhir enam hari buat Ali Khamenei
TEHRAN – Iran hari ini secara rasmi memulakan upacara penghormatan dan pengebumian negara selama enam hari bagi bekas pemimpin tertinggi republik itu, Ayatollah Ali Khamenei dengan ribuan rakyat berhimpun di ibu negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada tokoh yang memimpin negara itu selama lebih tiga dekad.
Menurut laporan media rasmi Iran, upacara penghormatan bermula di Grand Mosalla, Tehran sebelum diteruskan ke beberapa bandar suci termasuk Qom di Iran serta Najaf dan Karbala di Iraq, sebelum jenazah Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Mashhad pada 9 Julai.

Seawal pagi, ribuan orang membanjiri pekarangan Grand Mosalla sambil mengibarkan bendera dan sepanduk merah yang sering dikaitkan dengan seruan menuntut pembalasan, selain melaungkan slogan-slogan keagamaan dan kenegaraan.
Memetik laporan agensi berita antarabangsa, kawasan utama kompleks berkenaan dipenuhi orang ramai sehingga memaksa pihak berkuasa melaksanakan sekatan lalu lintas secara meluas di sekitar Tehran, selain menutup sebahagian ruang udara ibu negara sepanjang tempoh upacara berlangsung.
BACA JUGA
[VIDEO] Mohamad Sabu wakili Malaysia beri penghormatan terakhir kepada Ali Khamenei
PM mohon maaf tidak hadir majlis penghormatan terakhir Ali Khamenei
Jenazah Ali Khamenei bakal dikebumi 9 Julai di Mashhad
Kelewatan pengebumian Ali Khamenei cetus persoalan, faktor keselamatan jadi kebimbangan
Ramai hadirin dilaporkan sanggup berjalan kaki beberapa kilometer untuk menghadiri majlis penghormatan terakhir itu, yang dijangka menjadi antara perhimpunan awam terbesar dalam sejarah moden Iran.
Pihak berkuasa Iran menganggarkan jutaan rakyat akan menghadiri siri upacara tersebut, yang turut disertai delegasi rasmi dari beberapa negara, termasuk Malaysia, Rusia, China, Pakistan dan negara-negara serantau lain.
Ali Khamenei meninggal dunia pada usia 86 tahun selepas terbunuh dalam serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel pada Februari lalu, yang mencetuskan konflik bersenjata terbesar di Asia Barat dalam beberapa dekad.
Khamenei memegang jawatan sebagai pemimpin tertinggi Iran sejak 1989 selepas kematian Ayatollah Ruhollah Khomeini dan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar politik, ketenteraan serta hubungan luar negara republik Islam itu selama lebih 37 tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


















