Muhammad Faezuddin sasar belia Kempas keluar daripada ekonomi gig
KEMPAS – Golongan belia di kawasan ini disasar untuk menguasai peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang ditawarkan menerusi Johor–Singapura Special Economic Zone (SEZ), dengan anggaran kira-kira 24,000 peluang pekerjaan bergaji bermaruah.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, usaha itu akan digerakkan melalui padanan latihan kemahiran dengan keperluan industri semasa.
Beliau berkata, antara pendekatan yang akan dilaksanakan termasuk memperkukuh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan digital.
“kehidupan mereka tidak seharusnya terus terperangkap dalam kitaran ekonomi gig,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, ramai belia di Kempas ketika ini masih terlibat dalam aktiviti ekonomi gig dan memerlukan laluan kerjaya yang lebih stabil serta berstruktur.
Sehubungan itu, beliau berkata, data latihan kemahiran akan dipadankan dengan keperluan majikan dalam zon ekonomi berkenaan bagi memudahkan proses penempatan kerja.
“Bila data itu ada, kita matchkan program latihan itu dengan majikan-majikan yang ada dalam zon ekonomi tadi itu dan kita selaraskan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga akan membuka ruang kepada belia untuk menjalani temuduga serta latihan industri secara lebih tersusun.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan anak muda Kempas tidak hanya bergantung kepada pekerjaan tidak formal, sebaliknya mampu memasuki pasaran kerja berkemahiran tinggi.
Selain itu, beliau berkata, usaha tersebut juga selari dengan pembangunan ekonomi negeri yang menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.
Menurutnya, matlamat utama adalah memastikan belia di kawasan itu mempunyai laluan jelas sama ada ke alam pekerjaan atau latihan kemahiran selepas tamat pengajian.
Beliau yakin, dengan adanya penyelarasan antara latihan dan industri, lebih ramai anak muda Kempas mampu merebut peluang yang tersedia dalam SEZ berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















