POLITIK

PRN Johor: Calon PH Bukit Permai kesal bunting kempen didakwa ditutup pihak lawan

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menutupi bahan kempen miliknya dengan bunting calon lawan.

Menurut beliau, kejadian itu disaksikannya sendiri ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri ceramah kempen di Ulu Choh pada malam semalam.

“Saya melihat sendiri beberapa individu sedang menutupi bunting kempen saya dengan bunting calon pihak lawan.

“Politik yang matang tidak seharusnya dicemari dengan taktik lapuk seperti ini. Kita sepatutnya bersaing menerusi idea, khidmat kepada rakyat dan tawaran dasar, bukannya mengganggu atau merosakkan bahan kempen pihak lain,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata, laporan rasmi berhubung insiden itu telah dibuat kepada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk tindakan lanju.

Mohamad Shafwan turut berkata, sebarang bentuk sabotaj kempen tidak wajar berlaku dalam suasana pilihan raya yang sepatutnya berlangsung secara adil dan berhemah.

“Sekiranya insiden seperti ini berulang, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.

“Kempen pilihan raya mesti berlangsung secara bersih, adil dan menghormati proses demokrasi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pasukannya akan terus berkempen secara profesional dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memberi tumpuan kepada penyampaian mesej dan tawaran kepada rakyat.

“Biarlah rakyat membuat penilaian berdasarkan kerja, integriti dan keikhlasan, bukannya melalui permainan politik kotor,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button