MBAS serbu premis industri dijadikan sekolah etnik Rohingya
ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) semalam menyerbu sebuah premis industri yang disyaki dijadikan sekolah untuk etnik Rohingya di kawasan Kompleks Perniagaan Shahab Perdana, dekat sini.
Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Abdul Gafar Yahya, serbuan itu susulan isu tular di media sosial baru-baru ini berhubung dakwaan kewujudan sebuah sekolah untuk etnik Rohingya di kawasan berkenaan.
“Serbuan dilaksanakan melalui Bahagian Penguatkuasaan MBAS dan Jabatan Perancangan Pembangunan bagi mengesahkan maklumat serta menilai pematuhan premis terhadap peraturan dan undang-undang berkuat kuasa.
“Hasil siasatan mendapati, premis berkenaan disewakan dan digunakan sebagai sekolah yang menempatkan 26 kanak-kanak Rohingya menetap di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siasatan turut mendapati, setiap pelajar dikenakan yuran sebanyak RM100 sebulan untuk belajar di situ.
“Susulan penemuan itu, Bahagian Penguatkuasaan MBAS telah merekodkan butiran pemilik premis dan penyewa bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kes akan diambil tindakan atas kesalahan salah guna premis industri dan akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berhubung pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran serta Jabatan Imigresen bagi penelitian terhadap status permit warga asing terlibat,” katanya
Beliau kemudiannya menegaskan, MBAS komited memastikan setiap premis dalam kawasannya mematuhi syarat penggunaan diluluskan serta semua undang-undang demi menjaga ketenteraman awam dan kepentingan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















