PRN Johor: Zahid seru pengundi pilih kerajaan stabil, jangan ulang kesilapan lalu
LABIS – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi di Johor supaya membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya akan datang dan tidak mengulangi kesilapan sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, pengalaman lalu menyaksikan Johor terpaksa menukar Menteri Besar sebanyak tiga kali selepas pengundi memilih gabungan parti lain untuk mentadbir negeri itu.
“Tuan, puan 11 hari bulan ini kita akan mengundi. Dulu orang Johor pernah buat silap sekali.
“Pilih orang (parti) lain, berapa kali tukar Menteri Besar? Tiga kali. Akhirnya ke laut (sia-sia),” katanya ketika merasmikan Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Negeri Johor di Dataran Labis, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd. Hanafiah Man; calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, Tan Chong dan calon BN DUN Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pentadbiran Johor mula menunjukkan peningkatan selepas Barisan Nasional (BN) kembali menerajui kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.
Menurutnya, momentum tersebut kemudiannya diteruskan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kemajuan Johor semata-mata kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura.
“Ada orang kata (kemajuan) kerana Johor dekat dengan Singapura. Eh, (pentadbiran) Menteri Besar Johor dulu pun, Johor tak pernah berubah, dekat dengan Singapura betul tak?
“Kenapa dulu tak boleh, sekarang boleh? Itu memperlihatkan kerajaan BN di bawah Onn Hafiz adalah kerajaan yang baik, kerajaan yang stabil, kerajaan yang boleh disokong oleh orang Johor,” katanya memetik laporan BH Online.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Onn Hafiz dalam meningkatkan hasil negeri dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Onn Hafiz sebagai Menteri Besar dibantu pegawai dan kakitangan kerajaan mengutip hasil untuk negeri Johor sebanyak RM1.8 bilion pada tahun 2024.
“Manakala pada tahun 2025 beliau kutip RM2.26 bilion dan ia meningkat dengan banyak disebabkan beliau bekerja bersungguh-sungguh dan ikhlas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















