BERITA SEMASAPMX

Malaysia ucap tahniah sempena ulang tahun parti pemerintah China

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah Kerajaan dan rakyat Malaysia kepada Presiden China, Xi Jinping, sempena ulang tahun ke-105 parti pemerintah negara itu.

Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, ucapan itu disampaikan menerusi sepucuk surat yang diutuskan kepada Jinping.

“Saya telah mengutus surat kepada Xi Jinping sempena ulang tahun ke-105 parti pemerintah China, bagi menyampaikan ucapan tahniah daripada Kerajaan dan rakyat Malaysia.

“Saya menzahirkan penghargaan terhadap perjalanan panjang parti pemerintah China yang telah membentuk kemajuan negara itu berteraskan kekuatan tamadun, sejarah dan nilai-nilai yang diwarisi sejak sekian lama,” kata Anwar dalam hantaran berkenaan.

Beliau berkata, isi kandungan surat tersebut turut mengimbau keputusan bersejarah yang dibuat pada 31 Mei 1974 apabila Malaysia menjadi negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf Republik Rakyat China.

“Keputusan yang dibuat dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh itu terus menjadi asas kukuh kepada hubungan erat antara Malaysia dan China yang diperkukuh sepanjang lebih lima dekad,” kata Anwar.

Beliau kemudiannya menambah, Malaysia komited untuk terus memperdalam kerjasama strategik dengan China berlandaskan rasa hormat, kepercayaan serta manfaat bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button