‘Tolong panjatkan doa untuknya’ – Pramugara sering santuni jemaah haji, umrah kritikal akibat kanser usus tahap 4
KUALA LUMPUR – Seorang pramugara yang dikenali ramai menerusi perkongsian video menyantuni jemaah haji dan umrah Malaysia ke Tanah Suci kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat kanser kolon atau usus tahap empat yang dihidapinya.
Perkembangan mengenai keadaan Hafeez Al-Bukhary Zulkefli, 42, dimaklumkan oleh sepupunya, Hani Mishan menerusi satu hantaran di platform Threads.
Menurut Hani, Hafeez telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak untuk bersama keluarga.
“Sepupu saya pada ketika ini dalam keadaan kritikal dan telah dibawa pulang ke kampung halaman di Perak.
“Tolong panjatkan doa untuknya dan kita berdoa bersama-sama semoga dia sembuh daripada kanser,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Perkara sama turut dikongsikan ibu saudara Hafeez menerusi akaun Facebook, Orked Purple yang memohon orang ramai mendoakan kesembuhan anak saudaranya itu.
“Ya Allah, semoga ada keajaiban, ada kesembuhan buat anak buahku. Hapuskan kesakitan daripada tubuhnya, gantikan kekuatan dan ketenangan.
“Jadikan setiap penyakit sebagai penghapus dosa dan peninggi darjat, tiada kesakitan buat dirinya,” tulisnya.

Tinjauan di akaun media sosial Hafeez mendapati, hantaran terakhir yang dimuat naik pada 22 Jun lalu memaparkan dirinya sedang menerima rawatan di sebuah hospital.
“Hafeez sedang menjalani rawatan di hospital dan tidak boleh menerima sebarang lawatan. Hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan,” menurut hantaran tersebut.
Sementara itu, ruangan komen media sosial dibanjiri dengan doa dan kata-kata semangat daripada orang ramai yang mengikuti perjalanan hidup Hafeez, terutama menerusi kandungan yang dikongsikannya ketika bertugas menyantuni jemaah haji dan umrah Malaysia.
Pada 27 Ogos tahun lalu, Hafeez pernah mendedahkan bahawa beliau disahkan menghidap kanser kolon atau usus tahap empat dan berkongsi perjalanan rawatannya menerusi media sosial.
Walaupun berdepan penyakit tersebut, Hafeez tetap meneruskan tugasnya sebagai pramugara termasuk terlibat dalam operasi penerbangan Amal by Malaysia Airlines bagi menyantuni jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci baru-baru ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















