LUAR NEGARA

Penjaga gol Palestin maut dalam serangan di Gaza, tinggalkan isteri hamil anak sulung

GAZA – Komuniti bola sepak Palestin dan antarabangsa diselubungi kesedihan susulan kematian penjaga gol Palestin, Saleem Al-Ashqar yang dilaporkan terbunuh dalam serangan tentera Israel di Gaza, awal minggu ini.

Menurut laporan agensi berita Anadolu yang memetik kenyataan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Saleem Al-Ashqar maut akibat tembakan yang dilepaskan oleh tentera pendudukan Israel.

PFA memaklumkan, Al-Ashqar merupakan antara ratusan penggiat sukan Palestin yang terkorban sejak konflik di Gaza memuncak pada Oktober 2023, termasuk lebih 1,000 atlet Palestin yang dilaporkan terbunuh dalam tempoh berkenaan.

Lebih memilukan, Al-Ashqar yang berusia 32 tahun baru mendirikan rumah tangga kira-kira lima bulan lalu, manakala isterinya kini sedang hamil anak pertama mereka.

Pemergian beliau mencetuskan gelombang kesedihan dalam kalangan ahli keluarga, rakan sepasukan serta komuniti sukan Palestin dan antarabangsa.

Kelab bola sepak Chile, Deportivo Palestino, turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan tersebut menerusi satu kenyataan yang dimuat naik pada Rabu.

“Kami amat berdukacita atas pemergian tragis penjaga gol Palestin berusia 32 tahun, Saleem Al-Ashqar.

“Beliau terbunuh di tangan tentera Israel. Kami amat sedih melihat insiden seumpama ini terus berlaku dan menyeru agar keadilan serta keamanan ditegakkan,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button