BERITA SEMASA

MBPP timbang taman mesra haiwan peliharaan pertama di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengiktiraf Casa Permai Central Park di Tanjong Bungah sebagai taman awam mesra haiwan peliharaan pertama di Pulau Pinang.

Cadangan tersebut dikemukakan Ahli Majlis MBPP, Lee Seng Hwai dalam mesyuarat majlis baru-baru ini bagi mengiktiraf peranan taman berkenaan yang sekian lama menjadi lokasi tumpuan pemilik haiwan peliharaan.

Sekiranya diluluskan, taman itu akan menjadi taman awam pertama di pulau berkenaan yang menerima pengiktirafan rasmi sebagai kawasan mesra haiwan peliharaan.

Menurut Lee, langkah tersebut bukan bertujuan memperkenalkan konsep baharu, sebaliknya mengiktiraf amalan komuniti yang telah berkembang secara semula jadi sejak bertahun-tahun lalu.

“Setiap pagi dan petang, penduduk membawa haiwan peliharaan mereka untuk bersiar-siar dan beriadah di taman ini. Malah, ia turut menjadi destinasi pilihan pengunjung dari kawasan lain kerana persekitarannya yang luas dan selesa.

“Cadangan ini adalah pengiktirafan terhadap penggunaan sedia ada oleh komuniti serta usaha untuk memastikan ruang awam itu dapat digunakan secara lebih teratur dan bertanggungjawab,” memetik Penang Today online.

Bagi menilai kesesuaian cadangan tersebut, Lee bersama pegawai landskap MBPP serta wakil pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari telah mengadakan lawatan tapak dan sesi mendapatkan maklum balas orang ramai.

Beliau berkata, pengiktirafan rasmi itu akan membolehkan garis panduan khusus diperkenalkan bagi menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab, termasuk menjaga kebersihan dan mematuhi etika penggunaan taman awam.

Menurutnya, inisiatif berkenaan juga boleh dijadikan model bagi pelaksanaan taman mesra haiwan peliharaan di lokasi lain di Pulau Pinang pada masa hadapan.

MBPP kini sedang meneliti maklum balas yang diperoleh daripada tinjauan tapak tersebut sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button