BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Op Bersepadu: 135 individu termasuk 121 pemandu lori positif dadah ditahan

KUALA LUMPUR – Seramai 135 individu, termasuk 121 pemandu lori, ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Bersepadu yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan di seluruh negara sepanjang tempoh April hingga Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurut beliau, sebanyak 44 operasi telah dilaksanakan melibatkan 627 pegawai dan anggota penguat kuasa.

“Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 713 ujian saringan air kencing telah dijalankan dan hasilnya seramai 135 individu ditahan kerana didapati positif dadah.

“Daripada jumlah itu, seramai 121 adalah pemandu lori, manakala 14 lagi terdiri daripada individu lain. Ini menunjukkan hampir 90 peratus daripada tangkapan melibatkan pemandu kenderaan perdagangan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemandu treler, lori, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan yang membawa bahan berbahaya.

Katanya, pemeriksaan turut melibatkan semakan lesen memandu, permit dan dokumen syarikat bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten dan bebas daripada pengaruh dadah dibenarkan menggunakan jalan raya.

Mohammed Hasbullah berkata, JSPT memandang serius isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan kerana ia boleh menjejaskan tahap tumpuan, pertimbangan serta keupayaan mengawal kenderaan.

“Keadaan ini secara langsung meningkatkan risiko berlakunya kemalangan serius dan kemalangan maut di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 27 individu telah didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya.

“Selain itu, tiga individu didakwa mengikut Seksyen 12(2), seramai 101 individu di bawah Seksyen 15(1), tiga lagi mengikut Seksyen 39A dan seorang di bawah Seksyen 6 akta yang sama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button