SUKAN

KBS tekad lahirkan lebih ramai Hakim Danish

SEPANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memperkukuhkan pembangunan sukan permotoran negara dengan memberi penekanan kepada pembangunan bakat di peringkat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Hakim Danish Ramli.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, usaha berkenaan akan dilaksanakan menerusi penyediaan dana, kemudahan serta platform yang bersesuaian, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai pelumba negara menyerlah di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, langkah tersebut penting supaya kejayaan yang diraih Hakim Danish tidak terhenti kepada seorang individu, sebaliknya melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia.

“Kerajaan sentiasa menyalurkan sebarang bantuan, dana, keperluan dan juga platform yang penting untuk melahirkan atlet di peringkat akar umbi.

“Buat masa ini kita memberi tumpuan kepada Hakim Danish, tetapi selepas ini mungkin kita ada Qabil Irfan Azlan. Selepas itu pula, ada lagi atlet-atlet junior yang sedang kita bangunkan menerusi ZK Racing serta program-program di bawah Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan KBS.

“Kita mahu melahirkan bukan seorang, tetapi 10 atau 20 Hakim Danish yang mampu menjuarai kejohanan di peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pembaharuan kontrak penganjuran MotoGP Malaysia untuk tempoh lima tahun bermula 2027 hingga 2031 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, keputusan pemegang hak MotoGP untuk terus mengekalkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan berprestij itu didorong oleh prestasi cemerlang negara dalam menganjurkan kejohanan berkenaan sejak hampir tiga dekad lalu.

“Malaysia telah membuktikan kemampuan menganjurkan MotoGP dengan sangat baik. Setiap tahun kita bukan sahaja mencatat peningkatan kehadiran penonton, malah aspek teknikal dan penganjuran juga terus ditambah baik.

“Itulah yang memberikan keyakinan kepada pihak penganjur untuk menawarkan kontrak selama lima tahun kepada Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button