Piala Dunia 2026: Maghribi hantar Belanda pulang, laung amaran kepada pencabar
MONTERREY – Maghribi melaungkan amaran kepada pencabar lain pada Piala Dunia 2026 apabila ketua jurulatihnya, Mohamed Ouabhi percaya skuad Atlas Lions mampu menjadi pasukan yang sukar disekat sekiranya berjaya mempamerkan aksi terbaik mereka.
Keyakinan itu disuarakan selepas juara Afrika berkenaan berjaya menghantar Belanda ‘pulang’ sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik menerusi kemenangan dramatik penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Menurut Ouabhi, kejayaan bersejarah mara ke separuh akhir pada edisi 2022 di Qatar telah mengubah landskap serta mentaliti bola sepak negara itu secara menyeluruh.
“Piala Dunia di Qatar mengubah mentaliti pasukan Maghribi. Kini, pemain tempatan mula mempercayai kemampuan diri sendiri, malah penyokong juga meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada kami,” ujar Ouabhi yang sebelum ini pernah memimpin skuad bawah 20 tahun Maghribi menjuarai Piala Dunia B-20 di Chile tahun lalu.
Maghribi dijadualkan menentang pasukan tuan rumah bersama, Kanada pada pusingan seterusnya dengan bayangan pertembungan menentang Perancis menanti di peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, Ouabhi enggan anak buahnya memandang mudah cabaran Kanada yang disifatkannya mampu menyukarkan laluan pasukannya.
“Ramai yang berfikir perlawanan menentang Kanada akan menjadi tugas mudah atau sekadar ‘jalan-jalan di taman’ buat Maghribi, tetapi realitinya tidak begitu. Kanada adalah pasukan yang sukar untuk kami jinakkan,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa.
Meskipun begitu, beliau tetap optimis skuad kendaliannya memiliki ramuan yang cukup untuk melangkah lebih jauh berbanding pencapaian cemerlang pada edisi lalu.
“Apa yang perlu kami sematkan dalam diri adalah tiada sesiapa yang boleh menghalang kami sekiranya kami bermain corak bola sepak yang kami mahukan.
“Namun pada masa sama, tiada pasukan yang kebal. Jika kami melakukan kesilapan, kami akan pulang awal.”
Sementara itu, pengendali Belanda, Ronald Koeman mengakui penyingkiran pasukannya membuktikan peningkatan ketara kualiti bola sepak negara-negara Afrika.
“Sangat jelas dalam Piala Dunia kali ini pasukan-pasukan Afrika meningkat dengan begitu pesat dari segi taktikal dan corak permainan,” kata Koeman.
Beliau turut memuji sistem pembangunan akar umbi Maghribi yang berjaya melahirkan ramai pemain muda berkualiti sehingga menjadi buruan kelab-kelab elit Eropah.
“Bukan satu kebetulan mengapa kedudukan ranking dunia Maghribi ketika ini adalah lebih tinggi berbanding Belanda,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















