PRN Johor: Rafizi mahu kongsi nasi lemak percuma bersama rakyat
LARKIN – Pengasas bersama Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) Datuk Seri Rafizi Ramli bercadang menggunakan trak kempen parti itu untuk mengagihkan nasi lemak percuma kepada orang ramai sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha parti berkenaan mendekati rakyat menerusi pendekatan lebih sederhana tanpa perbelanjaan besar seperti yang lazim berlaku dalam kempen pilihan raya.
“Saya akan beli nasi lemak dan kita akan berkongsi nasi lemak bungkus secara percuma dengan pakcik-makcik yang mahu makan bersama kita selepas ini,” katanya dalam satu ceramah malam ini.
Bagaimanapun, beliau sempat berseloroh dengan memaklumkan bahawa pemberian makanan tersebut bukan bertujuan mempengaruhi pengundi.
“Saya beritahu awal-awal kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), itu bukan rasuah,” katanya lagi.
Rafizi berkata, trak kempen yang disewa parti itu pada kadar RM28,000 sebulan tidak akan digunakan hanya untuk ceramah pada waktu malam, sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelbagai aktiviti bersama masyarakat.
Menurutnya, selepas digunakan sebagai pentas ceramah pada sebelah malam, trak tersebut akan dibawa ke kawasan tumpuan orang ramai pada waktu siang untuk menjalankan program mendekati rakyat.
Beliau berkata, BERSAMA mahu membuktikan kempen pilihan raya boleh dilaksanakan secara berkesan tanpa bergantung kepada perbelanjaan besar atau penggunaan jentera kerajaan.
“Kita mahu tunjukkan bahawa ada cara lain untuk berkempen tanpa terperangkap dalam budaya politik wang yang telah lama mencengkam politik negara,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Rafizi turut mengkritik budaya politik yang menurutnya sering menyaksikan pelbagai pengumuman projek serta program kerajaan diadakan menjelang pilihan raya.
Beliau mendakwa sebahagian program yang dianjurkan kementerian dan agensi kerajaan akhirnya digunakan sebagai platform untuk tujuan politik, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penggunaan wang rakyat.
Justeru, katanya, penyertaan BERSAMA dalam PRN Johor bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan segera, sebaliknya membawa mesej perubahan terhadap budaya politik negara yang lebih telus dan berhemah dalam penggunaan dana awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















