LUAR NEGARASUKAN

Neymar sumbang RM1 juta bantu mangsa gempa bumi Venezuela

HOUSTON – Bintang bola sepak Brazil, Neymar dilaporkan menyumbang sebanyak AS$250,000 (RM1 juta) bagi menyokong operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi dahsyat yang melanda Venezuela.

Menurut laporan portal berita Venezuela, El Sumario.com, sumbangan tersebut akan disalurkan bagi menyediakan bantuan kecemasan termasuk bekalan makanan, air bersih, peralatan perubatan serta penempatan sementara kepada mangsa yang terjejas.

“Hati saya bersama rakyat Venezuela. Saya berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan sedikit kekuatan dan kelegaan kepada keluarga yang sedang melalui saat sukar,” kata Neymar memetik laporan portal tersebut.

Sementara itu, menurut laporan CNN yang memetik kenyataan Presiden Perhimpunan Nasional Venezuela, Jorge Rodriguez, angka korban akibat gempa bumi berkembar yang melanda negara itu pada Rabu lalu telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,430 orang.

Beliau berkata, seramai 3,238 individu dilaporkan cedera, manakala 3,142 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah akibat bencana tersebut.

gempa
Pasukan penyelamat mencari mangsa di sebuah bangunan yang runtuh di Caracas selepas dua gempa bumi kuat melanda Venezuela pada Rabu lalu. – Foto The Guardian

Pasukan penyelamat kini masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih terperangkap, meskipun berdepan cabaran kekurangan jentera berat serta gegaran susulan yang berterusan.

Gempa bumi berkembar berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang melanda Venezuela minggu lalu turut mencetuskan beberapa gegaran susulan dan gempa kecil, sekali gus merumitkan lagi operasi bantuan dan pemulihan.

Dalam perkembangan lain, ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti memaklumkan bahawa Neymar menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya dan kini berpotensi beraksi lebih lama menjelang pertemuan Brazil menentang Jepun pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA.

Bercakap kepada media pada Ahad, Ancelotti berkata tahap kecergasan pemain berusia 34 tahun itu meningkat dengan ketara sepanjang minggu lalu.

“Perkembangannya sepanjang minggu ini sangat memberangsangkan. Sebelum ini dia hanya mampu bermain sekitar 15 minit, tetapi kini dia berada pada tahap yang membolehkan dia beraksi lebih lama,” katanya.

Neymar sebelum ini terlepas dua perlawanan awal Piala Dunia sebelum diturunkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan Brazil 3-0 ke atas Scotland.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button